KUALA LUMPUR – Surat peletakan jawatan Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan telah dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam dan berkuat kuasa pada tarikh Datuk Seri Najib Tun Razak dibebaskan dari penjara.
Loke berkata, beliau diminta oleh Perdana Menteri untuk mengekalkan jawatan tersebut untuk satu tempoh.
Namun ketika ditanya tentang tempoh masa untuk memegang jawatan tersebut, beliau berkat peletakan jawatan berlaku secara automatik sekiranya Najib dibebaskan.
“Tempoh masa itu ialah apabila Najib pulang ke rumah, maka peletakan jawatan saya akan berkuat kuasa,” katanya kepada pemberita dalam Majlis Perasmian Minggu Maritim Malaysia 2026, lapor Utusan.
Minggu lalu, Loke dilapor menawarkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan susulan keputusan pengampunan bersyarat terhadap Najib.
Keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Tergempar Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang berlangsung hampir tiga jam bermula pukul 3 petang.
Menurut Loke, beliau telah menyerahkan surat peletakan jawatan secara tangan kepada Anwar selepas mengadakan perbincangan.
“Dalam perbincangan tersebut, Anwar menasihati saya untuk meneruskan tugas buat sementara waktu. Beliau akan membuat keputusan, tetapi saya katakan bahawa perlu juga ada satu tempoh masa, ” katanya.


