Peralihan kepada mobiliti elektrik semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna, dan perkembangan itu turut membuka ruang lebih besar kepada pemain industri tempatan untuk memperluaskan pasaran motosikal elektrik (EV) di Malaysia.
Melihat kepada perkembangan tersebut, GGR Motor menyasarkan pembukaan sehingga 50 cawangan baru di seluruh negara sehingga hujung tahun ini, dengan tumpuan bukan sahaja kepada jualan, malah penyediaan kemudahan selepas jualan yang lebih dekat dengan pengguna.
Langkah itu dilihat penting ketika motosikal elektrik semakin menjadi pilihan, khususnya dalam kalangan pengguna yang mencari kenderaan untuk kegunaan harian dengan kos operasi yang lebih rendah.
Pengarah Urusan Kumpulan GGR, Muhammad Musaddiq Mohamed Azmi berkata, syarikat kini mempunyai 19 pengedar di seluruh negara dan jumlah berkenaan akan terus ditambah bagi memastikan pengguna mempunyai akses lebih mudah kepada produk serta perkhidmatan GGR Motor.
Menurutnya, peluasan cawangan perlu bergerak seiring dengan pertumbuhan jualan kerana pemilikan motosikal bukan hanya berakhir selepas kunci diserahkan kepada pelanggan.

Sebaliknya, hubungan antara pengeluar, pengedar dan pengguna perlu terus berlangsung melalui penyelenggaraan, khidmat selepas jualan serta kemudahan mendapatkan alat ganti dan maklumat berkaitan motosikal.
“Kalau kita jual motosikal sahaja tanpa mengambil kira faktor selepas jualan, jualan dan pasaran EV selepas itu boleh merudum. Sebab itu kita mahu pastikan apabila pengguna membeli motosikal, mereka mempunyai tempat untuk mendapatkan perkhidmatan dan sokongan selepas jualan.
“Kita mahu melihat kawasan yang masih belum mempunyai kedai EV dan memberi tumpuan kepada lokasi tersebut supaya pengguna tidak berdepan masalah untuk mendapatkan perkhidmatan selepas membeli motosikal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran GGR Motor X Ajak di Taman Nusa Bestari, di sini.
Pembukaan cawangan berkenaan bukan sekadar menambah satu lagi lokasi jualan kepada rangkaian GGR Motor, malah membawa motosikal elektrik lebih dekat kepada masyarakat di Iskandar Puteri dan kawasan sekitarnya.
Dalam suasana pasaran yang semakin terbuka kepada teknologi mobiliti baru, kewujudan lebih banyak lokasi fizikal juga memberi peluang kepada pengguna untuk melihat sendiri motosikal, mendapatkan penerangan dan membuat perbandingan sebelum memilih model yang sesuai.
Muhammad Musaddiq berkata, GGR Motor turut melihat potensi di kawasan bandar serta destinasi pelancongan yang mempunyai kesesuaian dari segi penggunaan motosikal elektrik.
Antara lokasi yang diberi perhatian ialah Shah Alam, Selangor dan Langkawi, Kedah, selain Negeri Sembilan dan Sarawak yang ketika ini masih belum mempunyai cawangan GGR Motor.
“Kita mahu buka cawangan di kawasan yang mempunyai potensi penggunaan EV, termasuk kawasan pelancongan kerana motosikal elektrik sesuai digunakan untuk pergerakan jarak dekat.
“EV tidak memerlukan bahan bakar dan kos penyelenggaraannya juga lebih menjimatkan. Pada masa sama, harganya lebih berpatutan dan mampu dimiliki oleh pengguna,” katanya.
Menurut Muhammad Musaddiq, sasaran peluasan rangkaian itu turut disokong oleh pencapaian jualan model LION G1 yang merekodkan lebih 10,000 unit dalam tempoh sembilan bulan sejak dilancarkan.
Jumlah tersebut menjadi antara petunjuk bahawa motosikal elektrik mula mendapat perhatian lebih luas daripada pengguna, sekali gus memberi ruang kepada GGR Motor untuk melihat potensi pertumbuhan pasaran dalam tempoh akan datang.
“Sasaran kita selepas ini adalah antara 20,000 hingga 30,000 unit. Dengan adanya lebih banyak cawangan dan pengedar, orang ramai akan lebih mudah mengenali serta mendapatkan motosikal elektrik LION G1 bersama aksesori eksklusif keluaran GGR Motor,” katanya.
Bagi GGR Motor, pertumbuhan jualan juga perlu disokong dengan rangkaian pengedar yang mampu memberikan pengalaman lengkap kepada pelanggan. Dari saat pengguna pertama kali melihat motosikal di bilik pameran, mendapatkan penerangan mengenai ciri-ciri model, membuat pembelian sehingga penyelenggaraan selepas itu, setiap peringkat dilihat sebagai sebahagian daripada pengalaman pemilikan.
Muhammad Musaddiq berkata, syarikat turut menyasarkan pembukaan antara 50 hingga 100 cawangan baru pada tahun depan, termasuk melalui pertambahan jumlah pengedar di beberapa kawasan yang masih belum mempunyai pusat jualan EV.
Menurutnya, pendekatan itu penting bagi memastikan perkembangan pasaran motosikal elektrik tidak hanya tertumpu kepada kawasan tertentu, sebaliknya dapat dinikmati oleh pengguna di lebih banyak negeri.
“Negeri yang masih belum mempunyai cawangan seperti Negeri Sembilan dan Sarawak antara yang kita beri perhatian. Kita mahu cari kawasan yang masih belum ada kedai EV dan buka peluang kepada pengedar baru.

“Bagi kita, selepas jualan sangat penting. Kita bukan sekadar mahu menjual motosikal, tetapi mahu memastikan pelanggan mendapat perkhidmatan selepas jualan yang baik,” katanya.
Dalam perkembangan sama, GGR Motor turut menggunakan pendekatan kerjasama bersama personaliti tempatan untuk mendekatkan jenama serta produk EV kepada masyarakat.
Selain GGR Motor X Ajak, syarikat sebelum ini turut menjalinkan kerjasama menerusi GGR X Johan dan GGR X Farid Kamil, yang dilihat sebagai salah satu cara untuk membawa jenama motosikal elektrik itu kepada kelompok pengguna yang lebih luas.
Menurut Muhammad Musaddiq, penglibatan rakan kerjasama tempatan membolehkan maklumat mengenai motosikal elektrik disampaikan dalam suasana yang lebih dekat dengan masyarakat.
“Kami mahu lebih ramai pengguna mengenali pilihan mobiliti elektrik dan memahami ciri produk sebelum membuat keputusan pembelian.
“Rangkaian pengedar menjadi penghubung penting antara GGR dengan pengguna,” katanya.
Bagi Ajak pula, pembukaan GGR Motor X Ajak memberi satu pengalaman baru apabila beliau sendiri terlibat sebagai Pengarah Cawangan, selain menjadi sebahagian daripada usaha memperkenalkan motosikal elektrik kepada masyarakat Johor.
Ajak berkata, beliau melihat peluang itu sebagai satu ruang untuk mendekati masyarakat dengan cara yang lebih santai, khususnya mereka yang masih ingin mendapatkan gambaran jelas mengenai motosikal elektrik sebelum membuat keputusan untuk memilikinya.
“Saya melihat kerjasama ini sebagai peluang untuk memperkenalkan LION G1 dengan lebih dekat kepada orang ramai, khususnya penduduk Iskandar Puteri dan kawasan sekitarnya.
“Kami mahu orang ramai selesa datang ke bilik pameran, melihat sendiri motosikal dan bertanya mengenai ciri serta penggunaannya.
“Apabila mendapat penerangan yang jelas, mereka boleh menilai kesesuaiannya dengan rutin harian,” katanya.
Beliau turut mengalu-alukan kehadiran masyarakat setempat dan komuniti EV Johor untuk berkunjung ke GGR Motor X Ajak, sama ada untuk melihat model LION G1 dengan lebih dekat atau mendapatkan maklumat berkaitan penggunaannya.
“Harapan saya, cawangan ini dapat membina hubungan yang baik dengan pelanggan dan menjadi antara lokasi rujukan masyarakat setempat untuk mengenali motosikal elektrik GGR,” katanya.
LION G1 dilengkapi motor hab berkuasa 3,000 watt, tork 140Nm serta bateri 72V 32Ah dan mampu mencapai kelajuan maksimum 70 kilometer sejam.
Model itu ditawarkan pada harga atas jalan RM4,454 bagi Semenanjung Malaysia, manakala Sabah dan Sarawak pada harga RM5,954 termasuk cukai jalan dan insurans.
Dengan harga serta kos penyelenggaraan yang dilihat lebih rendah berbanding motosikal konvensional, model tersebut menyasarkan pengguna yang mahukan alternatif untuk pergerakan harian tanpa bergantung kepada bahan bakar.
Bagi GGR Motor, perkembangan motosikal elektrik bukan sekadar berkaitan teknologi atau angka jualan. Ia turut berkait dengan perubahan cara masyarakat melihat perjalanan seharian, daripada enjin yang bergantung kepada bahan bakar kepada pilihan mobiliti yang lebih senyap dan ringkas.
“Penjualan EV bermakna GGR Motor menjual gaya hidup, terutama untuk anak muda masa kini,” kata Muhammad Musaddiq.
Majlis pelancaran GGR Motor X Ajak yang berlangsung dari jam 12 tengah hari hingga 4 petang turut diserikan dengan lawatan ke bilik pameran, sidang media, jamuan makan tengah hari, persembahan serta sesi ramah mesra bersama komuniti EV Johor.
Pengunjung turut berpeluang menyertai cabutan bertuah menerusi pembelian baju eksklusif GGR Motor X Ajak dan sweatshirt, dengan hadiah utama berupa sebuah motosikal LION G1.
GGR Motor X Ajak beroperasi di No. 21, Jalan Bestari 1/5, Taman Nusa Bestari, 79150 Iskandar Puteri, Johor dan boleh dihubungi di talian 012-304 8479.
Daripada sebuah bilik pameran di Taman Nusa Bestari, GGR Motor mahu membawa perjalanan itu lebih jauh, membuka pintu kepada lebih ramai pengguna dan memberi ruang kepada motosikal elektrik untuk bergerak bersama perubahan gaya hidup masyarakat Malaysia.


