Oleh Zihan Zari
GUIZHOU, CHINA – Hubungan pendidikan dan akademik antara Malaysia dan China terus diperkukuh menerusi perasmian 2026 Guizhou – Malaysia International Educational Exchange yang telah berlangsung di sini pada 16 September lalu.
Program yang menghimpunkan Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) dan Guizhou Vocational College of Economics and Business (GVCEB) ini menjadi platform dinamik dalam memperkukuh pertukaran ilmu, budaya, pengalaman serta kepakaran antara kedua-dua institusi.
Majlis perasmiannya telah disempurnakan oleh Setiausaha Jawatankuasa Parti GVCEB, Li Yuanbo.
Li Yuanbo berkata, GVCEB mempunyai sejarah penubuhan selama lebih tujuh dekad sejak tahun 1950. Kerjasama strategik bersama POLIMAS membuka satu lagi lembaran baharu yang amat bermakna buat GVCEB.
“Kami percaya bahawa kolaborasi ini bukan sahaja memperluas jaringan pendidikan global, malah menjadi jambatan yang menghubungkan budaya serta membuka lebih banyak peluang untuk generasi masa hadapan,” katanya.
Terdahulu, Pegawai Pengantarabangsaan POLIMAS, Dr. Nui a/p Din Keraf, yang mewakili pihak pengurusan POLIMAS berkata, program pertukaran pendidikan antarabangsa ini melibatkan seramai 30 orang delegasi POLIMAS, terdiri daripada 12 orang pensyarah dan 18 orang pelajar daripada beberapa jabatan dan unit di POLIMAS.
Dr. Nui yang juga Ketua Delegasi Malaysia menyifatkan program tersebut sebagai satu platform penting dalam memberikan pendedahan antarabangsa kepada warga POLIMAS serta memperkukuh kemahiran insaniah dan kebolehpasaran graduan.
“Pertukaran antarabangsa seperti ini amat penting dalam memberikan pendedahan global kepada warga akademik kita.
Melalui perkongsian kepakaran, pengalaman dan interaksi silang budaya, kita mampu membina ekosistem pendidikan yang lebih inklusif dan progresif, sekali gus memperkasakan kemahiran insaniah para peserta, ”katanya.
Pada masa sama, majlis turut diserikan dengan persembahan kebudayaan daripada kedua-dua negara menerusi Tarian Tradisional China oleh pihak GVCEB serta Tarian Tradisional Malaysia oleh wakil SeniMAS bersama para pelajar POLIMAS, yang mencerminkan keunikan budaya dan semangat persahabatan Malaysia – China.
Dalam pada itu, para peserta program telah memberikan pengalaman bermakna bukan sahaja dari aspek akademik, malah dalam pembentukan sahsiah dan perspektif global.
Ketua Delegasi Pelajar, Muhammad Daniel Ezairy Mohd Yusri, melahirkan rasa syukur dan keterujaan atas peluang yang diberikan untuk menyertai program tersebut.
Katanya, peluang menjadi sebahagian daripada delegasi ini merupakan satu penghormatan besar bagi kami sebagai pelajar.
“Selain dapat menimba ilmu dan memahami budaya yang berbeza, program ini turut melatih kami untuk berfikiran lebih terbuka, matang dan bersedia menghadapi cabaran serta peluang di peringkat antarabangsa,” katanya lagi.
Dalam perkembangan sama, sinergi POLIMAS dan GVCEB mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua institusi dalam memperkukuh jaringan pendidikan antarabangsa, memperkasa pertukaran ilmu dan budaya.
Selain itu, menyediakan generasi muda dengan pengalaman dan kompetensi yang diperlukan untuk mendepani cabaran dunia pendidikan dan pekerjaan yang semakin global.-SUARA.TV



