Tengku Zafrul desak Ismail jelaskan sama ada penggantungan SUK, Penasihat Undang-Undang sudah ditarik balik

KUALA LUMPUR – Penasihat Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, mendesak Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, menjelaskan sama ada keputusan menggantung tugas Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan Penasihat Undang-Undang Negeri sudah ditarik balik.

Dalam video yang dimuat naik hari ini, Tengku Zafrul berkata kenyataan terbaharu Ismail bahawa kedudukan kedua-dua pegawai itu perlu diselesaikan melalui proses undang-undang dan pentadbiran masih belum menjawab persoalan utama iaitu apakah status keputusan penggantungan yang diumumkan kerajaan negeri pada 22 September?

“Apakah keputusan penggantungan itu sudah ditarik balik? Kalau belum, apa gunanya mengambil maklum bahawa kuasa itu terletak pada pihak lain tetapi keputusan yang dibuat tanpa kuasa masih mahu dikekalkan?” katanya.

Pada 22 September, Ismail mengumumkan keputusan sebulat suara mesyuarat khas Exco untuk menggantung tugas SUK, Datuk Mohd Zafir Ibrahim, dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Muzalmah Mustapha Kamal, berkuat kuasa serta-merta.

Jabatan Peguam Negara kemudian menyatakan tindakan itu tidak sah dan kedua-dua pegawai berkenaan perlu meneruskan tugas seperti biasa.

Dalam kenyataan berikutnya, Ismail berkata kerajaan negeri mengambil maklum mekanisme pelantikan jawatan utama itu serta pendirian pihak berkuasa berkaitan.

Menurut beliau, sebarang persoalan mengenai kedudukan pegawai terbabit perlu diselesaikan melalui proses undang-undang dan pentadbiran yang sewajarnya.

Tengku Zafrul menyambut baik pengakuan mengenai proses tersebut, namun menegaskan keputusan sebulat suara Exco atau mandat pilihan raya yang besar tidak dengan sendirinya memberikan kuasa untuk menggantung pegawai jika kuasa itu tidak diperuntukkan oleh undang-undang.

“Sebulat suara bukan lesen untuk buat sesuka hati. Majoriti dua pertiga pun bukan lesen untuk melangkaui undang-undang,” katanya.

Beliau turut membangkitkan krisis politik Perak pada 2009, apabila bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, menggantung tugas pegawai kanan negeri.

Menurut Tengku Zafrul, Ketua Setiausaha Negara ketika itu, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, menegaskan Menteri Besar tidak mempunyai kuasa berkenaan dan perkara itu terletak di bawah pihak berkuasa tatatertib yang berkaitan.

Laporan pada 2009 merekodkan tindakan Nizar menggantung tugas SUK serta Penasihat Undang-Undang Negeri Perak.

Tengku Zafrul kemudian mempersoalkan mengapa pendirian Persekutuan dalam kes Perak dahulu boleh diterima sebagai penegasan batas kuasa, sedangkan pendirian Jabatan Peguam Negara dalam kes Negeri Sembilan kini disifatkan sebagai campur tangan.

“Undang-undang tidak berubah mengikut parti yang memerintah Persekutuan. Dulu KSN menegaskan batas kuasa Menteri Besar di Perak, sekarang AGC menegaskan batas kuasa kerajaan negeri di Negeri Sembilan. Prinsipnya mesti konsisten,” katanya.

Beliau juga meminta Ismail menyatakan dengan jelas sama ada terdapat dakwaan salah laku terhadap Mohd Zafir dan Muzalmah, proses tatatertib yang telah dilalui serta pihak berkuasa yang membuat keputusan.

“Jangan lemparkan bayangan bahawa dua pegawai kanan tidak profesional atau tidak neutral tanpa menyatakan kesalahan mereka dan memberi ruang untuk mereka menjawab,” katanya.

Menurut Tengku Zafrul, penjawat awam mesti boleh memberi nasihat berdasarkan undang-undang, termasuk apabila nasihat itu sukar diterima oleh pemimpin politik.

Beliau menegaskan rujukan kepada Ketua Setiausaha Negara, Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Peguam Negara atau suruhanjaya berkaitan ialah sebahagian daripada proses pentadbiran bagi menentukan kedudukan kedua-dua jawatan itu.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat