KUALA LUMPUR – Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) hari ini mendesak Kerajaan Malaysia menangguhkan proses penghantaran pulang warga Myanmar ke negara asal.
Pertubuhan Alkhair Malaysia dalam satu kenyataan berkata kerajaan diminta menangguhkan penghantaran pulang 1,476 orang warga Myanmar melalui fasa pertama Penghantaran Pulang Secara Sukarela yang dijadualkan 29 September ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Azfar Abdullah berkata desakan itu dibuat susulan kebimbangan terhadap keselamatan dan keadaan kemanusiaan di Myanmar yang masih berdepan konflik serta keganasan.
“Alkhair Malaysia berpandangan bahawa setiap individu yang bakal dihantar pulang perlu melalui penilaian risiko dan keperluan perlindungan menyeluruh terlebih dahulu, khususnya mereka yang mungkin berdepan ancamanp penganiayaan atau keganasan,” katanya.
Menurut beliau, aspek kemanusiaan dan keselamatan individu perlu menjadi pertimbangan utama dalam setiap proses penhantaran pulang termasuk memastikan tiada individu dihantar ke lokasi yang boleh mendedahkan mereka kepada ancaman.
Azfar berkata walaupun Malaysia bukan negara berpihak kepada Konvensyen Pelarian 1951, prinsip untuk tidak menghantar seseorang kembali ke tempat yang boleh menyebabkan mereka berdepan penganiayaan perlu diberi perhatian sewajarnya dalam menguruskan proses penghantaran pulang.
“Sehubungan itu, kerajaan digesa memastikan penilaian risiko dan keperluan perlindungan dilaksanakan secara telus sebelum penghantaran pulang kira-kira 5,000 warga Myanmar diteruskan secara berperingkat,” katanya.
Alkhair Malaysia menegaskan bahawa proses berkenaan tidak sepatutnya dibuat dalam keadaan tergesa-gesa dan hanya mengambil kira aspek pentadbiran atau imigresen.
“Pendekatan berteraskan kemanusiaan, keselamatan dan maruah manusia perlu menjadi asas dalam memastikan sebarang keputusan penghantaran pulang tidak mendedahkan golongan terlibat kepada risiko lebih besar,” katanya.



