Sireh Pulang ke Gagang – Bila Alumni MRSM kuantan kembali menyemai impian dan harapan

KUANTAN, PAHANG | 25 SEPTEMBER 2026 — Ada tempat yang kita tinggalkan selepas tamat zaman persekolahan. Namun, ada juga tempat yang walaupun bertahun-tahun ditinggalkan, tetap terasa seperti rumah apabila kita kembali.

Buat alumni MRSM Kuantan, tempat itu ialah maktab yang pernah menjadi saksi kepada zaman remaja, persahabatan, jatuh bangun dalam pelajaran dan pelbagai cerita yang mungkin tidak pernah benar-benar selesai untuk dikenang.

Tahun ini, kepulangan mereka ke MRSM Kuantan menerusi Sireh Pulang ke Gagang (SPKG) 2026 hadir dalam suasana yang sedikit berbeza.

Dewan Ilmu yang selama ini menjadi antara ruang penting untuk warga maktab berhimpun telah musnah sepenuhnya dalam satu insiden kebakaran. Namun, kehilangan sebuah bangunan tidak bermakna hilangnya sebuah kenangan.

Sebaliknya, keadaan itu menjadikan SPKG 2026 lebih istimewa apabila buat pertama kalinya program tahunan berkenaan dilaksanakan sepenuhnya dalam konsep outdoor.

Bagaikan mengingatkan bahawa sebuah rumah bukan sekadar dinding dan bumbung, begitu juga sebuah institusi pendidikan tidak hanya dibina daripada bangunan. Ia dibentuk oleh manusia, pengalaman, persahabatan dan nilai yang dibawa pergi oleh setiap insan yang pernah menjadi sebahagian daripadanya.

Dengan tema “Dare to Dream”, SPKG 2026 dianjurkan ANSARA Kuantan (KUATAGH) di bawah kelolaan Batch K06 dari 25 hingga 27 September ini.

Program berkenaan bukan sekadar menemukan semula wajah-wajah lama, tetapi turut membuka ruang untuk alumni berkongsi pengalaman, ilmu, jaringan kerjaya serta pandangan dengan generasi pelajar yang sedang melalui perjalanan yang pernah mereka lalui suatu ketika dahulu.

Kemeriahan SPKG 2026 bermula pada Jumaat menerusi program pembukaan bersama tokoh motivasi terkenal, Dato’ Dr. Hj. Fadzilah Kamsah, sebelum diteruskan dengan Education Fair, sesi taklimat bersama barisan Exco KUATAGH, komiti dan sukarelawan.

Pada malamnya, peserta turut disajikan dengan tayangan filem Libang Libu.

Namun, kemuncak program dijangka berlangsung pada Sabtu apabila sekitar 1,000 alumni dan pelajar dijangka berkumpul dalam satu ruang yang sama.

Ada yang mungkin datang membawa cerita lama. Ada yang hadir dengan keluarga. Ada juga yang kembali selepas bertahun-tahun membawa pengalaman hidup yang jauh lebih panjang daripada kali terakhir mereka menjejakkan kaki di sini.

Dalam pertemuan itu, mereka bukan sahaja akan bertanya, “Kau sekarang buat apa?”

Sebaliknya, lebih banyak persoalan tentang masa depan akan dibincangkan bersama generasi baharu.

Antara pengisian yang disediakan termasuk Latihan Dalam Kumpulan (LDK), Career Talk, KUATAGH Networking Session, Bengkel Persiapan CV & Personaliti, Mock Interview, aktiviti sukan serta SPKG Gathering, Food Fest & Night Show.

Di sinilah makna sebenar sebuah pertemuan alumni mula terasa.

Yang pernah belajar di sini kini kembali bukan sekadar sebagai bekas pelajar, tetapi sebagai individu yang mempunyai pengalaman, kemahiran dan cerita untuk dikongsikan.

Dalam dunia yang semakin pantas berubah, pengalaman seseorang alumni mungkin menjadi panduan berharga buat pelajar yang sedang mencari arah.

Sebab itu SPKG 2026 turut memberi perhatian kepada pendidikan dan kerjaya, termasuk pendedahan mengenai persediaan CV, temu duga serta pembinaan personaliti.

Dua inisiatif besar turut menjadi sebahagian daripada program kali ini iaitu pelancaran laman web rasmi KUATAGH, www.kuatagh.my, serta Wakaf MARA MADANI Pembangunan MRSM Kuantan.

Kedua-duanya membawa mesej yang hampir sama — alumni bukan sekadar sebahagian daripada sejarah maktab, tetapi masih mempunyai peranan dalam membentuk masa depannya.

Ahad pula menjadi hari untuk kembali melihat perjalanan yang lebih jauh menerusi slot University Life Sharing, diikuti Maktab Tour sebelum program ditutup dengan Majlis Penutup dan Penyerahan Tepak Sirih.

Tepak sirih menjadi tanda bahawa hubungan itu tidak terhenti apabila seorang pelajar meninggalkan pagar maktab. Ia terus berpindah dari satu generasi kepada generasi yang lain.

Apabila bangunan hilang, semangat tetap tinggal

Pengarah Program SPKG 2026, Dr. Wan Mohd Hazman, mengakui kebakaran Dewan Ilmu menjadi cabaran besar kepada warga MRSM Kuantan.

Namun, bagi penganjur, musibah tersebut tidak seharusnya menjadi alasan untuk memadamkan tradisi.

Sebaliknya, ia menjadi peluang untuk membuktikan bahawa semangat alumni tidak bergantung kepada sebuah bangunan.

Ada benarnya, Kerana kenangan tidak pernah dibina daripada batu bata semata-mata.

Kenangan dibina daripada suara kawan yang pernah memanggil nama kita, guru yang pernah menegur, rakan sebilik yang pernah berkongsi cerita dan lorong-lorong maktab yang pernah menjadi saksi kepada impian yang masih belum tercapai.

Ketua Cawangan KUATAGH, Mohd Syuhada Mahmud, pula melihat SPKG sebagai ruang untuk alumni kembali memberi sesuatu kepada maktab dan generasi baharu.

“Sireh Pulang ke Gagang bukan sekadar program reunion. Ia adalah ruang untuk KUATAGH kembali menyumbang, berkongsi pengalaman dan membuka lebih banyak peluang kepada generasi pelajar hari ini. Kita mahu alumni bukan sekadar pulang mengenang kenangan, tetapi pulang untuk memberi impak.”

Mungkin itulah makna sebenar Sireh Pulang ke Gagang kali ini.

Pulang bukan semata-mata untuk mencari wajah lama atau mengulang cerita yang pernah berlaku.

Tetapi pulang untuk melihat sejauh mana kita telah berjalan, lalu menghulurkan tangan kepada mereka yang baru mahu memulakan langkah.

Dewan Ilmu mungkin sudah tidak lagi berdiri seperti dahulu.

Namun, ilmu yang pernah disemai di situ terus berjalan bersama setiap insan yang pernah melangkah keluar daripadanya.

Dan apabila alumni kembali ke MRSM Kuantan pada 25 hingga 27 September ini, mereka membawa satu pesan yang sederhana tetapi cukup dalam bangunan boleh runtuh, tempat boleh berubah, tetapi ikatan yang dibina dengan ilmu, persahabatan dan kenangan tidak semudah itu untuk terbakar.

KUATAGH — Dipimpin Untuk Memimpin.

Giving, Nurturing & Brotherhood.

Dare To Dream.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat