KUALA LUMPUR, – Perikatan Nasional (PN) mengesahkan menerima notis daripada Pendaftar Pertubuhan yang mencadangkan pembatalan pendaftarannya, selain perintah menggantung semua kegiatan gabungan itu sehingga suatu tarikh yang belum ditentukan.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, notis di bawah subseksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966 memberi PN tempoh 30 hari untuk menunjukkan sebab mengapa pendaftarannya tidak patut dibatalkan.
Menurutnya, cadangan pembatalan itu berkait dengan aduan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) terhadap PN berhubung satu mesyuarat pada 16 Julai 2026.
“PN juga susulan daripada notis di atas telah menerima suatu perintah di bawah subseksyen 13(2A), Akta Pertubuhan 1966 yang memerintahkan penggantungan semua kegiatannya sehingga tarikh yang tidak ditentukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Takiyuddin berkata, notis dan perintah berkenaan diserahkan kepada PN masing-masing pada 22 dan 23 September, bertepatan dengan pengumuman serta kuat kuasa pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan.
Katanya, PN mengambil maklum keputusan Pendaftar Pertubuhan tetapi tidak bersetuju dengan asasnya dan sedang mengambil langkah segera melalui proses undang-undang yang tersedia.
“PN tidak menolak kemungkinan tindakan terhadap PN adalah natijah agenda berniat jahat (*mala fide*) dan tekanan politik yang memangsakan PN daripada pihak-pihak dari dalam dan luar PN,” katanya.
Beliau menyeru ahli dan penyokong PN supaya bertenang sambil memaklumkan gabungan itu akan berkongsi maklumat serta dokumen berkaitan secara telus dan memberikan perkembangan dari semasa ke semasa.
PN juga, katanya, mengenakan larangan berkuat kuasa serta-merta terhadap mana-mana pihak daripada mengeluarkan kenyataan bagi pihak gabungan itu, kecuali pengerusi dan setiausaha agungnya.
Semalam, Suara.TV melaporkan PN dipercayai menerima notis yang memberinya 30 hari untuk menjawab cadangan pembatalan pendaftaran. Laporan itu turut menyebut parti komponen menerima arahan supaya tidak menggunakan logo PN dalam aktiviti mereka sementara menunggu keputusan muktamad Pendaftar Pertubuhan.


