PM nasihatkan Anthony Loke pertimbang hasrat letak jawatan, minta tidak tunduk tekanan

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan Menteri Pengangkutan Anthony Loke untuk mempertimbangkan hasrat awalnya mahu meletak jawatan daripada Kabinet susulan isu pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Kata Anwar, DAP juga tidak seharusnya tunduk kepada tekanan pihak mempunyai kepentingan politik supaya berundur daripada kerajaan semata-mata mahu melihat Kerajaan Perpaduan menjadi tidak stabil.

Sambil mempertahankan tindakan parti komponen itu, Anwar mempersoalkan cubaan pihak tertentu menuding jari dan mendesak parti itu menarik diri daripada pentadbiran kerajaan jika Setiausaha Agung DAP meletak jawatan.

“Ada orang kata, kenapa Anthony Loke? Patut semua DAP keluar. Itu cadangan siapa? Kenapa dia nak keluar? Dia tidak ada salah. Bukan dia cadangkan (keputusan pengampunan), malah dia cuba sedaya upaya menolak.

“Jadi saya fikir DAP jangan tunduk kepada tekanan orang ada kepentingan, kerana dia mahu kerajaan tidak stabil. Mereka mahu cari jalan melemahkan kerajaan menggunakan muslihat kotor ini,” katanya kepada media ketika berada dalam kereta api laju dari Shanghai menuju Hangzhou, lapor Harian Metro pada Rabu.

Anwar mengulas mengenai desakan Anthony meletak jawatan dan DAP keluar kerajaan susulan keputusan Lembaga Pengampunan terhadap bekas Najib.

Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan minggu lalu membenarkan Najib menjalani hukuman tahanan dalam rumah.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, beliau akan mengadakan rundingan lanjut dengan Loke dalam masa terdekat bagi mendengar penjelasan rasmi, selain mahu meminta beliau menarik balik keputusan berkenaan.

Anwar mengakui menghormati prinsip perjuangan Loke dan DAP yang konsisten menentang kleptokrasi serta rasuah sejak berpuluh tahun lalu, sehingga menyukarkan mereka berdepan keputusan Lembaga Pengampunan.

“Saya bagi ruang dan tidak mahu terburu-buru kerana hormat keputusan beliau. Beliau bukan menentang keputusan saya atau Kerajaan MADANI dan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.

“Beliau fikir sukar untuk mempertahankan keputusan Lembaga Pengampunan itu apabila partinya, malah Pakatan Harapan (PH) sejak awal mempunyai pendirian cukup tegas dalam bab ini,” katanya.

Anwar turut mendedahkan isu serta pandangan berhubung perkara itu sudah disampaikan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim termasuk pendirian tegas Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan semua pihak memahami keterbatasan kuasa Eksekutif di bawah prinsip Perlembagaan Persekutuan kerana keputusan muktamad di bawah pertimbangan dan bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Perdana Menteri turut membidas tindakan segelintir ahli politik cuba memanipulasi isu berkenaan kononnya wujud kompromi atau pakatan rahsia antara beliau dengan kepemimpinan Umno.

Menurut beliau, keutamaan pentadbirannya ketika ini adalah untuk mengemudi negara dengan bijaksana, mengekalkan kestabilan politik, menjaga hubungan baik dengan institusi Raja-Raja Melayu, serta memacu pertumbuhan ekonomi.

Dalam pada itu, Anwar turut menyeru seluruh rakyat tanpa mengira kaum untuk memegang prinsip taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada negara melalui istilah ‘Wangyue’ membawa simbolik kesetiaan kepada kerajaan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat