Strategi mengembangkan jenama selipar getah tempatan ke pasaran antarabangsa terus membuahkan hasil buat Fipper Group apabila Ketua Pegawai Eksekutifnya, Choong Jee Von, menerima pengiktirafan Ten Outstanding Young Malaysians (TOYM) 2026 bagi kategori Pencapaian Perniagaan, Ekonomi dan/atau Keusahawanan.
Pengiktirafan berkenaan hadir ketika Fipper terus memperluas jejak perniagaannya di peringkat global, dengan rangkaian peruncitan jenama itu kini merangkumi 19 negara dan wilayah menerusi lebih 150 outlet.
Perkembangan tersebut mencerminkan usaha Fipper dalam mengembangkan jenama tempatan daripada pasaran domestik kepada perniagaan yang mempunyai kehadiran di peringkat antarabangsa.
Di bawah kepimpinan Jee Von, strategi pengembangan Fipper turut memberi penekanan kepada penggunaan data dalam membuat keputusan perniagaan, khususnya dalam aspek pemasaran dan operasi peruncitan.
Latar belakangnya dalam Sains Aktuari serta kelayakan MBA menjadi antara asas kepada pendekatan tersebut, dengan analisis data digunakan bagi menyokong strategi pertumbuhan dan pengurusan perniagaan.
Pada masa sama, Fipper turut meletakkan agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhan syarikat.
Antara inisiatif yang diketengahkan ialah penggunaan getah semula jadi bagi menggantikan plastik sintetik, selain pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi *Fipper Sayang’ bagi membantu komuniti yang memerlukan.

Jee Von berkata, perkembangan perniagaan tidak seharusnya hanya dinilai berdasarkan prestasi kewangan, sebaliknya perlu mengambil kira kesan syarikat terhadap masyarakat dan alam sekitar.
“Keberhasilan perniagaan tidak pernah diukur menerusi penunjuk kewangan semata-mata. Kejayaan komersial tidak membawa sebarang erti sekiranya kita tidak mengangkat dan membantu insan sesama lain,” katanya.
Pengiktirafan TOYM 2026 itu turut melengkapkan beberapa pencapaian Jee Von sebelum ini, termasuk menerima Anugerah Khas Usahawan 2026 dan dinobatkan sebagai Usahawan Belia (Johan) 2026** menerusi penganjuran Kerajaan Negeri Melaka pada April lalu.
Sebagai anak Melaka, pencapaian tersebut mengukuhkan lagi rekod Jee Von dalam bidang keusahawanan, khususnya dalam usaha mengembangkan jenama tempatan ke pasaran yang lebih luas.
Beliau berkata, kejayaan Fipper menembusi pasaran antarabangsa membuktikan produk tempatan mempunyai potensi untuk bersaing di peringkat global sekiranya disokong strategi perniagaan yang tepat.
“Kepada anak-anak muda di luar sana: jangan biarkan sesiapa membataskan impian anda. Jika sepasang selipar getah tempatan mampu mengelilingi dunia, impian anda juga tiada batasnya.
“Komitmen saya kekal teguh untuk terus membawa jenama kebanggaan Malaysia ini ke seluruh dunia demi negara yang tercinta,” katanya.
Anugerah JCI TOYM 2026 yang membawa tema ‘One Nation, One Vision’ dianjurkan JCI South Key di bawah JCI Malaysia. Ia mengiktiraf 10 rakyat Malaysia berusia antara 18 hingga 40 tahun berdasarkan pencapaian dan sumbangan dalam 10 kategori.
Selain Jee Von, penerima tahun ini ialah Raja Angellie Stephen, Tan Jian Ping, Yap Shaw Wann, Galvin Lee Kuan Sian, Viknesh Andiappan Murugappan, Chai Nyuk Chuan, Vincent Khor Wei Sheng, Klaus Lim Chun dan Sam Tsen Mun Ket.
Bagi Fipper, perkembangan rangkaian ke 19 negara dan wilayah bukan sekadar memperluas capaian jenama, malah menjadi sebahagian daripada usaha meletakkan produk buatan Malaysia dalam landskap pasaran antarabangsa.



