Oleh Zihan Zari
ALOR SETAR – DAP perlu berhenti bercakap dengan lidah bercabang. Ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat pengampunan penuh pada tahun 2018, DAP menyambutnya sebagai pemulihan keadilan.
Namun apabila bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak diberikan tahanan rumah bersyarat, DAP mengadakan mesyuarat tergempar dan Setiausaha Agungnya pula menawarkan peletakan jawatan, kata Pengarah Komunikasi Strategik Umno Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri.
Syed Johan berkata, apabila keputusan menepati selera DAP, mereka menjunjung Raja, namun apabila tidak memihak kepada mereka, keputusan itu dijadikan krisis politik.
“Hakikatnya, Najib tidak dibebaskan dan sabitan tetap kekal, denda RM50 juta masih perlu dibayar serta hukuman terus berjalan sehingga 23 Ogos 2028. Yang berubah hanyalah tempat menjalani baki hukuman, daripada penjara kepada tahanan rumah bersyarat.
“Keputusan itu dibuat melalui Lembaga Pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dan telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
“DAP bebas menyatakan pendirian politik, tetapi jangan bertindak seolah-olah keputusan yang dibuat melalui proses Perlembagaan boleh dihukum semula menggunakan tekanan politik,”katanya dalam kenyataan.
Beliau yang juga Naib Ketua Umno Bahagian Alor Setar berkata, mulut mengatakan mereka menghormati institusi Raja, tetapi tindakan mereka seolah-olah mahu menentukan keputusan mana yang boleh diterima. Adakah kuasa pengampunan hanya dihormati apabila keputusannya menguntungkan pemimpin sendiri?
Katanya, lebih menghairankan, Nga Kor Ming yang sebelum ini lantang mengaitkan kedudukannya sebagai menteri dengan kemungkinan Najib dibebaskan, tetapi Anthony Loke pula yang perlu menawarkan diri untuk berundur.
“Nga yang membuat kenyataan, Anthony yang berkorban, manakala menteri DAP lain terus kekal dalam kabinet. Jika syarat janji Nga belum berlaku kerana Najib masih menjalani hukuman, mengapa Anthony perlu berundur?
“Jika keputusan ini cukup serius sehingga seorang menteri mesti berundur, mengapa bukan Nga yang mengotakan kata-katanya?
“Anthony juga belum meninggalkan kabinet, sebaliknya hanya akan menawarkan peletakan jawatannya kepada Perdana Menteri. Jika tawaran itu ditolak, Anthony kekal, Nga kekal dan semua menteri DAP terus memegang jawatan,”katanya lagi.
Ujarnya, peletakan jawatan atas prinsip atau sekadar surat tawaran yang dirancang untuk ditolak? Rumah sudah siap, pahat masih berbunyi, DAP dapat berlakon sebagai pejuang reformasi, Perdana Menteri muncul sebagai penyelamat kerajaan, dan semua menteri DAP selamat di kerusi.
“Jangan laungkan ‘Daulat Tuanku’ hanya ketika keputusan menyebelahi parti sendiri. Rakyat sedang menilai sama ada DAP benar-benar menjunjung institusi Raja atau hanya tunduk apabila keputusan memenuhi kehendak politik mereka, ”ujarnya lagi. – SUARA.TV


