Oleh Profesor Madya Dr Shahrul Mizan Ismail
Apabila pengampunan dibincangkan, perhatian lazimnya tertumpu pada nasib pesalah. Dalam kes yang melibatkan kerugian awam, nasib mereka yang menanggung akibat kesalahan itu juga wajar mendapat tempat. Belas ihsan mempunyai makna yang lebih luas apabila disertai usaha memulihkan hak rakyat.
Atas pertimbangan itu, saya mencadangkan agar, bagi kes yang sesuai, pertimbangan pengampunan disokong oleh kerangka pemulihan kerugian yang jelas, sah dan boleh dinilai. Pemulangan aset, pampasan kepada pihak yang berhak dan kerjasama mengesan hasil jenayah boleh menjadi unsur pertimbangan. Pelaksanaannya memerlukan asas undang-undang, ukuran pencapaian dan pengawasan yang berkesan.
Cadangan ini bertolak daripada penghormatan terhadap institusi pengampunan diraja sebagai sebahagian daripada susunan perlembagaan. Kekuatan institusi itu wajar diterjemahkan melalui pertimbangan yang menghubungkan belas ihsan, tanggungjawab pesalah dan kepentingan awam. Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa pengampunan mengikut bidang kuasanya. Seksyen 300(1) Kanun Tatacara Jenayah pula mengiktiraf penggantungan pelaksanaan atau peremitan hukuman dengan syarat yang diterima oleh pesalah.
Namun, kewujudan kuasa bersyarat tidak dengan sendirinya menjadikan setiap bentuk syarat sah. Syarat yang dicadangkan tetap perlu dinilai dalam kerangka perlembagaan dan undang-undang yang berkenaan. Orientasi kepada kepentingan awam turut mempunyai asas perbandingan. Dalam Biddle v Perovich, 274 US 480, 486 (1927), Mahkamah Agung Amerika Syarikat menghubungkan pengurangan hukuman dengan kebajikan awam. Dalam Schick v Reed, 419 US 256 (1974), mahkamah mengesahkan pengubahan hukuman mati kepada penjara seumur hidup dengan syarat tanpa parol. Kedua-duanya tidak mengikat Malaysia. Schick juga bukan pengesahan terhadap
syarat kewangan atau kebajikan tertentu.
Dari sudut penologi, pemulihan kerugian boleh berjalan bersama hukuman yang setimpal, pencegahan dan pemulihan pesalah. Seksyen 718 Kanun Jenayah Kanada mengiktiraf pembaikan kemudaratan kepada mangsa atau masyarakat sebagai tujuan penghukuman. Seksyen 718.1 pula mengekalkan prinsip kesetimpalan hukuman dengan berat kesalahan dan tahap tanggungjawab pesalah.
Sebagai perbandingan dasar, kedua-duanya menunjukkan bahawa perhatian kepada mangsa boleh digandingkan dengan pertanggungjawaban yang tegas. Perenggan 8 dan 9 Deklarasi PBB mengenai Keadilan untuk Mangsa Jenayah, 1985, menggalakkan restitusi, termasuk sebagai tambahan kepada sekatan jenayah lain. Di Malaysia, seksyen 426 Kanun Tatacara Jenayah menyediakan mekanisme pampasan kepada mangsa melalui mahkamah. Ini memperlihatkan tempat pemulihan kerugian dalam undang-undang jenayah kita.
Bagaimanapun, kuasa mahkamah tersebut tidak boleh dipindahkan begitu sahaja menjadi kuasa mengenakan syarat pengampunan. Bagi kes rasuah, sandaran dasarnya lebih khusus. Artikel 37(2) Konvensyen PBB Menentang Rasuah (UNCAC) menghendaki negara pihak mempertimbangkan kemungkinan pengurangan hukuman, dalam kes yang sesuai, bagi tertuduh yang memberikan kerjasama substantif dalam penyiasatan atau pendakwaan. Artikel 30(1) tetap menekankan berat kesalahan dalam penentuan sekatan. Artikel 35 menyentuh tuntutan pampasan, manakala Artikel 51 menetapkan pemulangan aset sebagai prinsip asas konvensyen itu.
Peruntukan tersebut menyokong pertimbangan dasar yang menghubungkan kelonggaran dengan manfaat awam yang nyata. Ia tidak mewujudkan hak automatik kepada pengampunan atau kuasa diraja baharu. Kerjasama membantu penyiasatan juga perlu dibezakan daripada pemulihan hubungan dengan mangsa.
Istilah keadilan restoratif mesti digunakan dengan cermat. Pembayaran denda atau sumbangan kebajikan sahaja belum mencukupi. Prinsip Asas ECOSOC 2002/12 menekankan penyertaan aktif dan sukarela pihak terkesan, kewajipan yang munasabah serta perhatian terhadap ketidakseimbangan kuasa.
Deklarasi 1985 dan prinsip ECOSOC ini ialah panduan antarabangsa, bukan sumber kuasa domestik untuk mengenakan syarat. Tanpa unsur proses restoratif tersebut, lebih tepat kita menyebut langkah berkenaan sebagai pemulihan kerugian.
Bagaimanakah kerangka yang dicadangkan ini boleh dilaksanakan? Pertama, kerugian dan pihak yang berhak menerima pemulihan perlu dikenal pasti. Sumbangan kepada badan kebajikan pilihan pesalah tidak semestinya membaiki kemudaratan asal. Keutamaan wajar diberikan kepada pemulangan hak yang terjejas, sambil memelihara tuntutan sah pihak lain.
Kedua, pematuhan mesti boleh dibuktikan. Perlu ada tempoh pelaksanaan, pengesahan bebas dan akibat ketidakpatuhan yang ditetapkan secara sah. Janji membayar dan pemulangan yang benar- benar terlaksana mempunyai nilai pembuktian yang berbeza. Sebarang kelonggaran yang mengambil kira usaha pemulihan wajar bersandar pada pencapaian yang dapat disahkan.
Ketiga, kerangka itu mesti adil kepada pesalah daripada pelbagai latar belakang. Kekayaan tidak wajar menjadi ukuran kelayakan belas ihsan. Kemampuan sebenar dan bentuk tanggungjawab bukan kewangan yang sesuai perlu diambil kira. Ruang pertimbangan kemanusiaan juga perlu dipelihara supaya kemiskinan tidak menjadi penghalang kepada belas ihsan.
Pembayaran denda sedia ada tidak patut dianggap sebagai jasa tambahan yang dengan sendirinya melayakkan seseorang menerima kelonggaran. Jika wang awam hendak dikhususkan kepada sesuatu program, pengurusannya mesti mematuhi kerangka penerimaan dan perbelanjaan dalam Perkara 97 dan 104 Perlembagaan Persekutuan.
Cadangan menyalurkan wang kepada kebajikan memerlukan mekanisme yang sah, telus dan boleh diaudit. Cadangan ini menawarkan ukuran untuk menilai dasar pengampunan pada masa hadapan. Keberkesanan sesuatu keputusan tetap memerlukan bukti tentang syarat, pelaksanaan dan hasilnya. Pengiktirafan terhadap kuasa pengampunan tidak mewajibkan kita menganggap setiap keputusan telah mencapai tujuan pemulihan.
Belas ihsan kepada pesalah mesti disertai kesungguhan memulihkan hak mereka yang menanggung akibat kesalahannya. Di situlah penghormatan kepada institusi beraja bertemu dengan tanggungjawab terhadap rakyat.
Dr Shahrul Mizan Ismail merupakan Profesor Madya di Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia


