Kuasa pengampunan sebahagian kedaulatan undang-undang, Azalina jawab Pakatan Harapan

KUALA LUMPUR – Kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong tidak boleh digambarkan sebagai tindakan mengatasi undang-undang kerana kuasa tersebut diperuntukkan secara jelas dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Dalam kenyataan Media Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi negara dan semua pihak, termasuk individu, kerajaan serta institusi, tertakluk kepadanya.

Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berkata demikian sebagai menjawab kenyataan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) semalam yang dilihat tidak gembira dengan keputusan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Majlis Presiden PH menyatakan sokongan terhadap pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kerajaan akan terus tegas memerangi rasuah dan salah guna kuasa serta menegaskan tiada sesiapa mengatasi undang-undang.

“Prinsip kedaulatan undang-undang tidak pernah dipertikaikan. Tiada individu, kerajaan atau institusi berada di atas undang-undang.

“Namun, Perlembagaan Persekutuan ialah undang-undang tertinggi negara dan semua pihak juga tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azalina berkata, bagi kesalahan yang dilakukan di Wilayah-Wilayah Persekutuan, Perkara 42 memberikan kuasa pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong, selain menetapkan kerangka penubuhan dan peranan Lembaga Pengampunan.

Justeru, katanya, pelaksanaan kuasa pengampunan yang diperuntukkan oleh Perlembagaan tidak wajar digambarkan sebagai tindakan yang mengatasi undang-undang.

Menurut beliau, keputusan kehakiman dan proses pengampunan juga merupakan dua perkara berbeza yang masing-masing mempunyai fungsi tersendiri dalam kerangka Perlembagaan.

Mahkamah menjalankan fungsi kehakiman bagi menentukan kesalahan dan menjatuhkan hukuman, manakala Perkara 42 menyediakan mekanisme perlembagaan berkaitan pengampunan, penundaan hukuman atau pengurangan hukuman.

“Kewujudan kuasa pengampunan dalam Perlembagaan tidak bermakna keputusan mahkamah diketepikan atau seseorang individu berada di atas undang-undang,” katanya.

Azalina turut menegaskan bahawa setiap institusi mesti bertindak dalam lingkungan kuasa yang diberikan oleh Perlembagaan.

Katanya, peranan Lembaga Pengampunan, Peguam Negara dan menteri berkaitan perlu dinilai berdasarkan peruntukan Perkara 42 serta prosedur yang ditetapkan, bukannya melalui tafsiran atau persepsi politik.

Beliau berkata, kerajaan sebelum ini juga telah menjelaskan di Parlimen bahawa prosedur dan urusan berkaitan Lembaga Pengampunan dilaksanakan mengikut Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang yang berkuat kuasa.

“Pendirian saya sebagai Ketua Penerangan UMNO Malaysia adalah jelas: hormati keputusan mahkamah, hormati Perlembagaan dan hormati proses yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.

“Sebarang persoalan mengenai kesahan, kesan undang-undang atau proses sesuatu tindakan hendaklah dinilai berdasarkan teks Perlembagaan, fakta dan proses sebenar, bukan sekadar kenyataan politik,” katanya.

Semalam, Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan mengumumkan Najib diberikan pengampunan bersyarat yang membolehkannya menjalani baki hukuman kes SRC International secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Keputusan itu tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta dan pematuhan syarat-syarat yang ditetapkan. Pengampunan tersebut akan terbatal sekiranya beliau melanggar mana-mana syarat dan beliau perlu meneruskan baki hukuman di penjara. – Suara.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat