ANALISIS: Memahami “Enquiry” dalam Perkara 10 UUTKNS 1959 dari aspek Jurisprudens Watan

Oleh Datuk Profesor Madya Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain

Krisis perlembagaan yang melanda Negeri Sembilan sejak awal tahun ini telah mencetuskan pelbagai tafsiran undang-undang mengenai kedudukan Yang di-Pertuan Besar dan kuasa Undang Yang Empat. Antara persoalan yang sering diketepikan, namun sebenarnya membawa implikasi mendalam, ialah tafsiran satu perkataan tunggal dalam Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS): “enquiry”. Analisis ini menggunakan kaedah tafsiran sejarah dan harmonis (historical and harmonious construction) sepertimana digariskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi a/p Mutho lwn Pengarah Jabatan Agama Islam Perak & Ors [2018] 1 MLJ 545 — iaitu peruntukan perlembagaan mesti dibaca sebagai satu keseluruhan organik yang saling melengkapi, dan ditafsir secara progresif untuk memberi kesan kepada tujuan sebenar penggubal, bukan secara literal-sempit atau terpencil daripada latar sejarah yang membentuknya.

Perkara 10(1) UUTKNS memperuntukkan bahawa Undang boleh memanggil Yang di-Pertuan Besar berundur atau turun takhta hanya jika perkara itu “considered and determined after full and complete enquiry by the Undangs” — bukan “inquiry”. Ramai mungkin menganggap ini sekadar variasi ejaan British berbanding Amerika. Tanggapan ini keliru dan mengabaikan kedalaman sejarah perundangan yang membentuk peruntukan tersebut.

Secara leksikal, “enquiry” membawa maksud permintaan maklumat secara kasual (a casual request for information), manakala “inquiry” membawa maksud siasatan rasmi atau formal (an official or formal investigation). Pembezaan takrifan ini penting kerana ia sebenarnya menyokong — bukan menyanggah — hujah bahawa proses di bawah Perkara 10 tidak ketat sifatnya. Ini kerana Perkara 10 mesti dibaca bersama Perkara 79, yang mengekalkan sepenuhnya prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Undang Yang Empat. Justeru, “enquiry” dalam Perkara 10 bukan bermaksud satu siasatan rasmi bergaya moden yang tertakluk kepada keperluan prosedur pembuktian yang ketat sepertimana sebuah “inquiry” atau Commission of Inquiry — sebaliknya ia membawa maksud sepertimana difahami dalam adat Melayu, iaitu satu mesyuarat atau musyawarah Undang Yang Empat, yang satu-satunya syarat formal dikenakan ke atasnya ialah kuorum sah di bawah Perkara 29. Dengan kata lain, “enquiry” Perkara 10 adalah pelaksanaan sebuah prerogatif adat yang luas dan berbudi bicara, bukan satu proses siasatan formal yang ketat.

Bukan Isu Ejaan, Tetapi Isu Struktur Prerogatif

Perkara 10 tidak wujud secara terpencil. Ia mesti dibaca bersama Perkara 29, yang menetapkan bahawa kuasa dan tanggungjawab Undang di bawah Bahagian yang sama hanya dianggap sah dilaksanakan jika dijalankan oleh sekurang-kurangnya tiga daripada empat Undang, atau sebanyak jumlah Undang yang masih hidup pada masa itu. Ini bermakna “enquiry” bukan satu proses bicara yang rasmi, tetapi ia tetap perlu didasarkan pada maklumat yang betul, dan disyaratkan sebagai satu proses kolektif yang tertakluk kepada kuorum tertentu mengikut Perkara 29 — bukan tindakan seorang Undang secara individu.

Lebih penting lagi, Perkara 32 UUTKNS menegaskan bahawa perlembagaan purba dan adat resam purba negeri terus terpakai, selagi tidak berlawanan dengan peruntukan Bahagian Pertama. Manakala Perkara 79, di bawah tajuk “The Royal Prerogatives”, memperuntukkan bahawa Perlembagaan ini tidak menjejaskan prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Yang di-Pertuan Besar dan Pembesar-Pembesar Memerintah. Kedua-dua peruntukan ini bersama-sama mengesahkan bahawa “enquiry” dalam Perkara 10 mewarisi watak sebuah proses musyawarah adat — bukan mekanisme siasatan statutori berbentuk moden seperti sebuah Commission of Inquiry.

Akar Sejarah: Konfederasi, Bukan Kuasa Tunggal

Penggunaan istilah tersebut jika ingin dibahaskan boleh bersandarkan kepada sejarah pembentukan Negeri Sembilan itu sendiri — sebuah proses konfederasi berperingkat, bukan penubuhan sebuah kerajaan berpusat tunggal.

Perjanjian Konfederasi Pertama pada 13 Julai 1889, yang menyatukan Sri Menanti, Johol, Tampin dan Rembau, secara nyata menetapkan bahawa susunan yang dipersetujui tidak memberi mana-mana Raja kuasa melangkaui apa yang sedia ada dimilikinya ke atas negeri lain. Prinsip yang sama diulangi dalam Perjanjian Konfederasi Kedua pada 8 Ogos 1895, apabila Jelebu dan Sungei Ujong turut menyertai.

Dokumen paling penting ialah Perjanjian Muktamad 29 April 1898 — perjanjian antara Yang di-Pertuan Besar Tengku Muhammad dengan Empat Penggubal Undang-Undang (the Four Lawgivers): Dato’ Klana Petra Sungei Ujong, Dato’ Mendika Mentri Akhir Zaman Jelebu, Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan Johol, dan Dato’ Sedia Raja Rembau. Dalam perjanjian ini, Empat Penggubal Undang-Undang memilih dan melantik Yang di-Pertuan Besar mengikut perlembagaan purba — mengesahkan bahawa sumber kuasa Yang di-Pertuan Besar itu sendiri lahir daripada persetujuan Undang, bukan sebaliknya. Lebih menarik, Baginda sendiri mengaku dalam perjanjian tersebut bahawa Baginda tidak boleh campur tangan dalam adat resam atau Hukum Syarak di setiap negeri, dan perkara sedemikian diselesaikan melalui perundingan dengan Residen British — tidak tertakluk kepada perintah Baginda.

Fakta sejarah ini penting: ia membuktikan bahawa kedaulatan Negeri Sembilan sejak asal dibina secara berkongsi antara institusi Yang di-Pertuan Besar dan institusi Undang Yang Empat — bukan sebuah kuasa tunggal yang kemudiannya diagihkan ke bawah.

Enquiry sebagai Warisan Tradisi Perundingan

Menariknya, penggunaan perkataan “enquiry” dalam konteks penyelesaian pertikaian di Negeri Sembilan bukanlah sesuatu yang baharu pada 1959. Memorandum Gabenor Frederick Weld bertarikh 23 Disember 1885 turut menggunakan frasa “after patient enquiry and separate consultation with all parties” bagi menggambarkan proses penyelesaian pertikaian dengan pembesar tempatan — jauh sebelum peruntukan ini dikodifikasikan secara rasmi dalam UUTKNS 1959.

Ini menunjukkan bahawa “enquiry” telah lama menjadi istilah operatif dalam tradisi pentadbiran dan penyelesaian pertikaian di rantau ini — merujuk kepada proses perundingan menyeluruh dan bersifat adat, bukan prosiding kuasi-kehakiman berformat moden.

Kesimpulan

Jika dirujuk rentetan sejarah perundangan, apabila penggubal UUTKNS 1959 memilih perkataan “enquiry” — bukan “inquiry” — dalam Perkara 10, pilihan ini bukanlah kebetulan editorial semata-mata. Ia mencerminkan kesinambungan logik struktur kedaulatan berkongsi yang telah wujud sejak Perjanjian 1889, 1895 dan 1898 — sebuah proses musyawarah kolektif Undang Yang Empat, tertakluk kepada kuorum sah di bawah Perkara 29, dan dijalankan dalam semangat mengekalkan prerogatif adat yang dilindungi oleh Perkara 32 dan 79. Perlu dinyatakan bahawa penggubalan setiap Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri dilakukan oleh pihak berkuasa Negeri masing-masing berdasarkan terma yang digariskan dalam Suruhanjaya Reid dan disemak oleh Jawatankuasa Kerja Perlembagaan sebelum diberi pertimbangan oleh Raja-Raja Melayu dalam majlis negeri masing-masing. Kesimpulan ini merupakan hasil aplikasi kaedah tafsiran sejarah dan harmonis terhadap teks statutori dan dokumen perjanjian primer, selaras dengan prinsip tafsiran harmonis dan progresif yang ditegaskan Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi — satu pendekatan jurisprudensial yang diiktiraf dalam tafsiran perlembagaan, bukan spekulasi tanpa asas.

Justeru, sebarang penilaian mengenai kesahihan tindakan di bawah Perkara 10 perlu memenuhi kuorum yang ditetapkan, dan sama ada ia mematuhi watak musyawarah adat yang menjadi asas kepada seluruh struktur kedaulatan Negeri Sembilan sejak 1889.

Datuk Profesor Madya Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain adalah Pengasas Jurisprudens Watan dan Fiqh al-Watan, ISTAC-IIUM/ Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat