Pertemuan UMNO Kedah dengan Sanusi mesra dan positif – Mahdzir Khalid

ALOR SETAR – UMNO Kedah memperoleh bayangan awal mengenai bentuk kerjasama yang boleh dijalin dengan PAS negeri itu selepas mengadakan pertemuan tidak rasmi dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, semalam.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyifatkan pertemuan santai di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah itu sebagai sangat mesra dan positif.

“UMNO Kedah mengadakan kunjungan ke Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah untuk pertemuan secara tidak rasmi.

“Saya sifatkan pertemuan itu sangat mesra, positif dan hasilnya ada bayangan awal ke arah perbincangan yang lebih serius di peringkat lebih tinggi selepas ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mahdzir, UMNO Kedah turut mendapat gambaran awal mengenai bagaimana rundingan antara kedua-dua parti boleh dimulakan sekiranya mereka bersetuju bergerak bersama menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Bagaimanapun, katanya, pertemuan tersebut tidak menyentuh soal pembahagian kerusi kerana perkara itu masih terlalu awal untuk dibincangkan.

Mahdzir berkata, beliau hadir bersama Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Ariffin Man; Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan Ketua UMNO Bahagian Jerlun, Datuk Othman Aziz.

“Kami bagaimanapun tidak berbincang sebarang topik mengenai pembahagian kerusi pilihan raya kerana itu terlalu awal untuk dibincangkan. Lagipun, pertemuan itu bukannya secara rasmi,” katanya.

Mahdzir sebelum ini memaklumkan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Kuala Lumpur bahawa beliau akan mengadakan pertemuan dengan kepimpinan PAS Kedah sebaik sahaja perhimpunan tersebut berakhir.

Bagaimanapun, beliau belum memberikan sebarang petunjuk mengenai tarikh pertemuan dan perbincangan rasmi antara kepimpinan kedua-dua parti itu akan diadakan.

Mahdzir berkata, hasil pertemuan tidak rasmi berkenaan akan dimaklumkan kepada kepimpinan tertinggi UMNO sebelum langkah selanjutnya disusun.

“Apa sekalipun keputusan yang hendak dibuat, ia akan diputuskan di peringkat tertinggi kedua-dua parti,” katanya. – SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat