KUALA LUMPUR – ARMADA BERSATU Malaysia mempersoalkan tindakan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo yang mendesak Peguam Negara (AG), Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar memberi penjelasan berhubung keputusan pendakwaan tidak meneruskan empat pertuduhan terhadap Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ketua Penerangan ARMADA BERSATU Malaysia, Harris Idaham Rashid mendakwa desakan itu memperlihatkan sikap selektif, sambil mempersoalkan sama ada pendirian sama pernah diambil Gobind ketika kes rasuah membabitkan pembelian banglo di Jalan Pinhorn dan urus niaga tanah melibatkan Lim Guan Eng digugurkan pada 2018.
“Adakah beliau pernah menuntut penjelasan terbuka daripada Peguam Negara apabila kes rasuah pembelian banglo di Jalan Pinhorn bawah nilai pasaran dan urus niaga tanah membabitkan Lim Guan Eng digugurkan sepenuhnya oleh Pejabat Peguam Negara (AGC) pada September 2018 dahulu?” katanya dalam kenyataan hari ini.
Harris turut membangkitkan kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika itu yang menyatakan rasa terkejut dengan keputusan pengguguran kes berkenaan.
Menurutnya, Gobind perlu konsisten dalam soal akauntabiliti dan kepentingan awam tanpa mengira individu atau parti politik yang terlibat.
“Keluhuran undang-undang adalah adil dan saksama untuk semua warganegara,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan Gobind yang meminta Peguam Negara memberikan penjelasan terperinci mengenai keputusan pendakwaan memohon perintah melepas tanpa membebaskan (DNAA) terhadap empat pertuduhan Muhyiddin.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa melepas dan membebaskan Muhyiddin daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa berkaitan Bukhary Equity Sdn Bhd selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan pertuduhan berkenaan.
Hakim Noor Ruwena Nurdin memutuskan untuk melepas dan membebaskan Muhyiddin selepas pihak pendakwaan memohon DNAA tetapi tidak mengemukakan alasan khusus bagi permohonan tersebut.
Susulan itu, Gobind dilaporkan berkata penjelasan diperlukan kerana kes berprofil tinggi berkenaan sudah menghampiri penghujung perbicaraan dan melibatkan kepentingan awam.
Dalam pada itu, Harris mempertahankan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung empat pertuduhan tersebut dan menggesa DAP menghormati proses serta keputusan mahkamah.
ARMADA turut menolak sebarang usaha yang menurutnya cuba menggambarkan keputusan tersebut sebagai sesuatu yang meragukan, sambil menegaskan prinsip keadilan perlu diterapkan secara konsisten tanpa mengira latar belakang politik pihak yang terlibat.
“BERSATU kini sedia bangkit dengan solidariti penuh dan kekuatan total, dan kami tidak akan membiarkan prinsip keadilan negara dipermainkan mengikut selera politik sempit DAP,” katanya.



