KUALA LUMPUR – Ketua Umno Bahagian Sepang Datuk Noorazli Said memohon maaf kepada penganut agama Kristian atas ucapannya di Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026 yang telah menimbulkan salah faham sekali gus menyinggung perasaan.
Noorazli menjelaskan, kisah tersebut beliau gunakan semata-mata sebagai satu analogi untuk mengambil pengajaran tentang pentingnya fokus, ketekunan dan kebijaksanaan dalam mencapai sesuatu matlamat.
Ujar pemimpin Umno itu ucapannya sama sekali tidak dimaksudkan untuk menghina, memperlekeh atau mempersendakan mana-mana individu, kepercayaan mahupun agama.
“Namun, saya memahami bahawa apabila sesuatu cerita menyentuh figura atau rujukan keagamaan, ia boleh ditafsirkan secara berbeza dan menimbulkan salah faham, khususnya dalam masyarakat Malaysia yang berbilang agama dan kepercayaan.
“Sekiranya penyampaian saya itu telah menimbulkan salah faham atau menyinggung perasaan mana-mana pihak, khususnya penganut agama Kristian, saya dengan penuh rendah hati memohon maaf.
“Saya juga menerima perkara ini sebagai satu pengajaran untuk lebih berhati-hati dalam memilih analogi dan menyampaikan sesuatu pandangan pada masa hadapan.
“Saya menghormati setiap agama dan kepercayaan serta sentiasa menjunjung keharmonian, sikap saling menghormati dan persefahaman yang menjadi asas penting kepada kehidupan masyarakat majmuk di negara ini,” katanya,
Justeru, Noorazli berharap semoga penjelasan ini dapat meredakan salah faham yang timbul dan kita dapat terus memelihara keharmonian serta semangat saling menghormati antara satu sama lain.



