KUALA LUMPUR – Jadikan himpunan sejuta umat permulaan kepada sesuatu yang lebih besar, satu kesedaran bahawa perbezaan parti tidak semestinya menjadikan kita musuh.
Ketua Penerangan Pejuang Rafique Rashid berkata, Umno dan Pas nampak sedia untuk buka pintu. Justeru, yang lain juga perlu bersedia melangkah masuk. Jangan tutup pintu itu hanya kerana ego dan sejarah lama.
“Kita tak perlu bubarkan semua parti untuk bersatu. Kita hanya perlu setuju bahawa dalam perkara yang melibatkan masa depan bangsa, agama dan negara, kepentingan bersama mesti mengatasi kepentingan parti dan individu.
“Pejuang sokong penuh himpunan sejuta umat ini. Pejuang sambut baik cadangan Umno dan Pas untuk himpunkan sejuta umat.
“Ada yang mungkin kata ini politik. Memang politik. Tapi politik tak semestinya menyebabkan kita terus bermusuh dan berpecah.
“Orang Melayu sudah terlalu lama berpecah. Ada dalam Umno. Ada dalam Pas. Ada dalam Pejuang. Ada dalam Wawasan. Ada dalam Bersatu dan parti-parti lain,” kata Rafique.
Menurut beliau, parti berbeza kerana sejarah dan pendekatan yang berbeza.
“Tapi kita masih bangsa yang sama, agama yang sama dan tanah air yang sama.
“Kita pernah lihat apa yang berlaku bila orang Melayu bersatu. Kita juga sedang lihat apa yang berlaku bila orang Melayu memilih untuk terus berpecah.
“Sebab itu himpunan sejuta umat ini jangan sekadar jadi himpunan Umno dan Pas. Bukalah pintunya kepada semua yang mahu melihat perpaduan Melayu dan Islam dibina semula.
“Jangan tanya dulu dia ahli parti mana. Jangan tanya siapa kawannya dulu dan siapa lawannya dulu. Kalau setiap kali hendak bersatu kita buka semula buku sengketa lama, sampai bila pun kita tak akan bersatu.
“Apa yang diperlukan sekarang bukan siapa jadi abang besar dan siapa jadi adik. Bukan siapa dapat lebih banyak kerusi. Bukan juga siapa lebih kuat.
“Apa yang diperlukan ialah kesanggupan mengenepikan sedikit kepentingan sendiri untuk kepentingan yang jauh lebih besar.
“Sejuta orang berhimpun memang besar. Tapi angka sejuta tak bawa apa-apa makna jika selepas bersurai kita kembali mencaci, menjatuhkan dan mengkhianati satu sama lain,” pesan beliau.
Dalam pada itu, Rafique mengingatkan agar tidak berhenti pada sejuta manusia yang berhimpun sehari.
“Satukan sejuta hati kepada satu tujuan. Barulah perpaduan itu mempunyai makna yang boleh kita terjemahkan demi kepentingan rakyat keseluruhannya,” ujarnya.
Sabtu lalu, Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh diberi mandat untuk menggerakkan Himpunan Perpaduan Ummah dengan sasaran menghimpunkan sejuta umat Islam di seluruh negara.
Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, mandat tersebut diberikan selepas mendapat persetujuan para perwakilan menerusi undian suara.
“Dengan ini saya mohon persetujuan untuk kita memberikan mandat kepada Ketua Pemuda Umno bagi menggerakkan Himpunan Perpaduan Ummah.
“Mal (Muhamad Akmal), abah berikan mandat. Jalinkan kerjasama sebaik-baiknya dengan mereka (Pas) dan lakukan jelajah ke seluruh negeri sebelum kemuncaknya di peringkat pusat,” katanya.



