KUALA LUMPUR – Penyatuan ummah ini dicemburui lawan hingga terpaksa dibayar dengan harga yang tinggi.
Setiausaha Agung Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pelbagai intimidasi, pelbagai fitnah dan pelbagai juga tuduhan-tuduhan jahat telah direka, semata-mata untuk mengaibkan, mencalar reputasi dan menguji kecekalan hati pimpinan Umno.
Bagaimanapun menurut beliau, perjuangan ini adalah sunnatullah yang penuh dengan ujian.
“Kerana pejuang sejati yang sabar akan kekal berdiri walau dibadai taufan.
“Apa yang berlaku mutakhir ini juga mengingatkan kita dengan kebobrokan manusia yang hanyut dengan kekuasaan sementara. Sehingga hilang pertimbangan, rakus menyalahgunakan sisa jawatan, menganiaya rakan yang sebelum ini mengangkat mereka ke puncak takhta.
“Tapi, mereka tersilap percaturan. Mereka sangkakan dengan menganiaya dan memalukan kita, maka kita akan lemah. Sedangkan kita pejuang Melayu.
“Daripada hidup bercermin bangkai, lebih baik mati berkalang tanah. Dicabar—kita bangkit! Ditekan—kita melompat tinggi! Dipukul—kita berdiri lebih keras melawan! Semakin diambil semakin membumbung, semakin dihimpit semakin melenting!
“Kalau layar sudah dikembang, Jangan gentar ombak lautan; Kalau sabar sudah tak terkekang, Lagi ditekan, lagi kuat melawan! tegas Asyraf dalam ucapan di Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026 pada Jumaat.
Meskipun begitu Asyraf menitipkan pesan supaya Umno tidak terlalu mendongak ke atas tatkala angin memihak kepada parti itu.
“Kerana gelombang yang membawa kita ke atas, boleh juga menghempas kita ke bawah jika kita lupa diri, sombong dan leka.
“Ingatlah, kemenangan ini bukan lesen untuk kita mendabik dada, tetapi amanah berat untuk kita berkhidmat dengan penuh tawaduk dan keikhlasan jua.
“Namun, kejayaan yang kembali memutik di Johor dan Negeri Sembilan ini bukannya datang bergolek secara percuma,” ujarnya.


