BERSIH mahu Najib kekal dipenjara, pengampunan akan sekat proses pendakwaan lain sedang berjalan

KUALA LUMPUR – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menegaskan bahawa Datuk Seri Najib Razak perlu menghabiskan baki hukuman beliau di dalam penjara, dan bukan sebagai tahanan rumah.

Menurut BERSIH, Najib telah pun mendapat lega hukum daripada Lembaga Pengampunan pada Februari 2024 dan dijangka bebas pada bulan Ogos 2028 sekiranya beliau dapat membayar denda RM50 juta.

“Kami juga ingin mempersoalkan mengapakah kes Najib Razak perlu diberikan keutamaan untuk dipertimbangkan sedangkan hari ini masih ramai mereka yang dipenjara khususnya dari kalangan rakyat yang masih menunggu peluang untuk mendapatkan ruang pengampunan?

“Malah, Najib Razak masih lagi mempunyai beberapa kes yang sedang berjalan seperti penyalahgunaan kedudukan dan pengubahan wang haram dalam kes 1MDB yang berjumlah RM2.3 billion.

“Kami, pertubuhan masyarakat sivil dan gerakan mahasiswa serta anak muda yang bertandatangan di bawah mengambil maklum perkembangan permohonan pengampunan oleh bekas Perdana Menteri Najib Razak. Melalui laporan media, Lembaga Pengampunan akan bersidang pada Jumaat ini (11 September 2026) dan antara agenda perbincangan adalah berkenaan kebenaran untuk
Najib menghabiskan baki hukuman beliau sebagai tahanan rumah. Untuk rekod, hukuman beliau telah mendapat lega hukum daripada penjara 12 tahun kepada enam tahun, dan denda RM210 juta kepada RM50 juta,” kata BERSIH dalam kenyataan media pada Khamis.

Menurut gabungan itu, walaupun Najib telah disabitkan bersalah di peringkat Mahkamah Tinggi dengan hukuman penjara 15 tahun dan denda sekitar RM13 billion, namun kini beliau telah mengemukakan notis rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan tersebut. Kes pengubahan wang haram kedua SRC International (SRC2) serta kes IPIC juga masih boleh didakwa semula walaupun beliau telah mendapat pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) pada 2025.

“Sekiranya beliau diberikan pengampunan atau lega hukum untuk menjalankan baki hukuman penjara sebagai tahanan rumah, apakah yang akan terjadi sekiranya beliau disabitkan kekal bersalah untuk kes 1MDB, atau jika Peguam Negara memutuskan untuk membawa semula kes SRC2 atau kes IPIC?

“Pengampunan beliau akan menyekat proses pendakwaan dan tidak praktikal memandangkan masih ada kes-kes beliau yang sedang berjalan.

“Sabitan kes SRC International jelas menunjukkan ada puluhan juta wang rakyat telah dicuri dan dirompak. Isyarat daripada rakyat jelas pada 2018 yang mahukan perasuah dan koruptor disiasat dan dihukum seadilnya.

“Ratusan ribu rakyat yang turun ke jalan menuntut keadilan dan kebertanggungjawaban skandal 1MDB tidak layak untuk dikhianati. Malah, petisyen yang dilancarkan oleh BERSIH pada Ogos 2022 yang memohon Yang di-Pertuan Agong untuk tidak mengampunkan Najib Razak telah disokong oleh 157,000 rakyat Malaysia. Negara juga masih menanggung hutang sebanyak RM20.1 billion seperti jawapan menteri di dalam Parlimen.

“Negara juga menyaksikan dua lagi bekas Perdana Menteri sedang berhadapan dakwaan iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri yang turut melibatkan dana awam. Sekiranya mereka disabitkan bersalah, adakah mereka juga akan mendapat pengampunan atau lega hukum sama seperti Najib Razak? soal BERSIH.

Gabungan itu menegaskan, kerajaan perlu mempertimbangkan kesan ketara yang akan berbangkit kepada kedaulatan undang-undang di Malaysia sekiranya seorang perasuah yang telah disabitkan seperti Najib dilepaskan daripada tatacara keadilan yang biasa.

“Negara tidak boleh memberi isyarat bahawa pemimpin politik seperti bekas Perdana Menteri – yang mempunyai kuasa yang luas – apabila melakukan kesalahan dan disabitkan bersalah boleh mengambil jalan pintas untuk bebas dari hukuman, seolah-olah ada undang-undang dua darjat untuk elit politik dan rakyat biasa.

“Pengampunan atau tahanan di rumah untuk Najib akan menjadi cabaran total terhadap nilai moral masyarakat Malaysia, di mana kuasa dan wang tentukan benar dan salah, hukuman boleh dilenyapkan kerana lindungan kuasa tertinggi, dan penguatkuasaan undang-undang hanya untuk orang kebanyakan.

“Di hujungnya, rakyat terutamanya generasi muda akan menanggung kesan dan beban rasuah, salah guna kuasa dan pecah amanah.

“Wang dan dana yang sepatutnya memberi manfaat kepada semua peringkat rakyat hanya dinikmati oleh segelintir elit politik tanpa ada kesan langsung kepada rakyat. Skandal 1MDB dan SRC International adalah contoh jelas salah guna kuasa dan pecah amanah yang mengakibatkan ketirisan untuk memastikan negara dapat menyediakan perkhidmatan dan pembangunan yang bermutu tinggi kepada rakyat,” kata BERSIH dalam kenyataan yang dikeluarkan bersama oleh 47 organisasi masyarakat sivil (CSO) dan 5 individu.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat