Kuala Lumpur : BDS Malaysia memaklumkan pihaknya telah membuat laporan polis berhubung kewujudan 71 kontena menuju Israel yang kini berada di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP).
Dalam kenyataan medianya, kumpulan masyarakat sivil itu berkata maklumat berhubung kontena berkenaan diperoleh menerusi dokumentasi yang disediakan oleh inisiatif No Harbour for Genocide.
Menurut BDS Malaysia, sebahagian besar daripada 71 kontena berkenaan sudah pun berada di pelabuhan tersebut.
Kumpulan itu berkata perkembangan berkenaan menimbulkan kebimbangan terhadap kewujudan penghantaran berulang yang disifatkan sebagai menunjukkan satu rantaian bekalan barangan ke Israel yang tersusun.
Profesor Nazari Ismail daripada BDS Malaysia berkata penemuan berkenaan menunjukkan keperluan untuk kerajaan mengambil tindakan lebih menyeluruh bagi menghalang penggunaan kemudahan pelabuhan Malaysia bagi penghantaran ke Israel.
“Penemuan 71 kontena menuju Israel di Tanjung Pelepas mendedahkan satu rantaian bekalan terancang yang secara langsung menjejaskan solidariti Malaysia yang telah lama berakar umbi bersama rakyat Palestin dan mendedahkan negara kepada kemungkinan bersubahat dalam genosid.”
BDS Malaysia turut merujuk tindakan pihak berkuasa Malaysia pada 7 Ogos lalu yang menghalang kargo ditujukan kepada Elbit Systems, syarikat pengeluar senjata terbesar Israel.
Menurut kumpulan itu, tindakan berkenaan membuktikan penguatkuasaan terhadap penghantaran yang mempunyai kaitan dengan Israel boleh dilaksanakan apabila terdapat kemahuan politik.
Sehubungan itu, BDS Malaysia menggesa kerajaan melaksanakan sekatan menyeluruh terhadap semua kontena yang menuju Israel dan menyita kontena yang kini berada di pelabuhan Malaysia.
Kumpulan berkenaan turut menggesa kerajaan melaksanakan mekanisme due diligence bagi memastikan pelabuhan Malaysia tidak menawarkan perkhidmatan, kebenaran berlabuh atau laluan melalui perairan wilayah kepada kapal yang membawa kargo ke Israel.
Selain itu, BDS Malaysia mahu tindakan dan penalti dikenakan terhadap kapal yang melanggar undang-undang serta peraturan Malaysia berkaitan penghantaran dan transshipment ke Israel.
BDS Malaysia turut menggesa Malaysia memainkan peranan lebih besar dalam Hague Group dengan mengambil langkah undang-undang dan diplomatik secara bersama bagi menghalang pemindahan maritim yang didakwa membekalkan keperluan kepada Israel.
Kumpulan itu berkata langkah berkenaan selari dengan pendirian kerajaan Malaysia sebelum ini yang menegaskan bahawa negara tidak seharusnya menjadi laluan perdagangan yang boleh menyokong atau menyumbang kepada tindakan Israel terhadap rakyat Palestin.



