KOTA BHARU: Hubungan antara UMNO dan PAS kembali menjadi perhatian apabila Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan parti itu akan menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 minggu depan.
Perkembangan itu dilihat sebagai satu lagi isyarat keterbukaan kedua-dua parti Melayu terbesar negara untuk merapatkan hubungan, selepas pimpinan UMNO turut hadir ke Muktamar Tahunan PAS Ke-72 di Pengkalan Chepa, Kelantan hari ini.
Perkembangan itu dikongsikan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran di media sosial selepas beliau hadir ke muktamar PAS hari ini mewakili Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam hantaran berkenaan, Asyraf berkata Abdul Hadi memaklumkan kepadanya:
“Perhimpunan UMNO minggu depan PAS akan hadir, InsyaAllah!”
Menurut Asyraf, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man turut menyatakan harapan agar usaha penyatuan antara kedua-dua parti kali ini dapat direalisasikan.
“InsyaAllah kali ini kena pastikan penyatuan ummah benar-benar jadi,” kata Tuan Ibrahim seperti dipetik Asyraf.
Asyraf kemudian berkata rakyat sememangnya mengharapkan dua parti terbesar Melayu dan Islam itu dapat berpakat serta bekerjasama.
Katanya, perkara paling penting dalam usaha berkenaan ialah keikhlasan dan kepercayaan antara kedua-dua pihak yang berteraskan prinsip serta panduan agama.
Asyraf mengetuai rombongan UMNO ke muktamar tersebut bagi mewakili Ahmad Zahid yang tidak dapat hadir pada saat akhir. Turut hadir Ketua UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub serta Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Alwi Che Ahmad.
Kehadiran pimpinan UMNO itu penting kerana ia mengulangi kembali hubungan terbuka antara kedua-dua parti yang pernah bekerjasama melalui Muafakat Nasional (MN) sebelum ini.
Namun, perkembangan terbaharu itu belum boleh ditafsirkan sebagai pengumuman rasmi pembentukan kerjasama politik baharu antara UMNO dan PAS.
UMNO sebelum ini memutuskan untuk menjemput kepimpinan tertinggi PAS menghadiri PAU 2026 sebagai tanda penghormatan dan membalas jemputan PAS kepada pimpinan UMNO untuk menghadiri muktamar parti itu.
PAU 2026 akan berlangsung selama empat hari dari 9 hingga 12 September, dengan 6,401 perwakilan dijangka menghadirinya.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebelum ini turut mengesahkan beliau akan menghadiri PAU berkenaan, manakala barisan wakil lain akan ditentukan parti.


