RM1 bilion percepat pendigitalan kesihatan awam, lebih 300,000 pesakit sehari bakal terima manfaat – MCMC

CYBERJAYA — Lebih 300,000 pesakit yang mendapatkan rawatan di klinik kesihatan dan hospital awam setiap hari dijangka menerima manfaat daripada peruntukan RM1 bilion kerajaan bagi mempercepat pendigitalan sektor kesihatan awam.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata jumlah itu termasuk tambahan peruntukan RM350 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berbanding peruntukan awal RM650 juta.

Menurut MCMC, peruntukan berkenaan akan digunakan antaranya bagi memperluas ketersambungan Internet dan pelaksanaan sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) di fasiliti kesihatan awam.

“Tambahan kepada peruntukan awal RM650 juta ini akan memperkukuh pelaksanaan Pemacu Ekosistem dan Ketersambungan Kesihatan Digital Negara (PERSADA) dan melengkapi usaha pendigitalan yang sedang dirancang di klinik kesihatan dan hospital awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MCMC berkata langkah berkenaan penting bagi merealisasikan aspirasi “Satu Individu, Satu Rekod” yang membolehkan maklumat kesihatan pesakit diakses dengan lebih cekap dan terselaras merentas fasiliti kesihatan awam.

Menurut suruhanjaya itu, kerjasama rentas kementerian atau pendekatan whole-of-government berkenaan dijangka mempercepat usaha pendigitalan yang sebelum ini disasarkan sehingga 2045 kepada tahun hadapan.

Pendigitalan perkhidmatan kesihatan juga dijangka memudahkan urusan rawatan, mengurangkan masa menunggu serta kos tidak langsung kepada pesakit, khususnya golongan B40 dan M40.

MCMC berkata usaha berkenaan dijangka memberi manfaat kepada lebih 300,000 pesakit setiap hari yang mendapatkan perkhidmatan di klinik kesihatan dan hospital awam.

Suruhanjaya itu turut menghargai komitmen Kerajaan MADANI yang terus memberi keutamaan kepada usaha meringankan beban kewangan rakyat di samping meningkatkan mutu serta kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.

MCMC akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pemain industri bagi membangunkan ekosistem kesihatan awam digital yang kukuh, saling berhubung serta bersedia untuk masa hadapan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat