KETAPANG — Tiga orang utan berjaya diselamatkan selepas terperangkap di kawasan perkebunan penduduk yang terjejas akibat kebakaran hutan dan tanah (karhutla) di Ketapang, Kalimantan Barat.
Memetik laporan Kompas.com, operasi menyelamat di Desa Tanjungpura, Kecamatan Muara Pawan pada Jumaat lalu mengambil masa kira-kira lapan jam ketika kebakaran masih berlaku dan kawasan berkenaan diselubungi kabut asap.
Operasi itu melibatkan pasukan Balai Konservasi Sumber Daya Alam (BKSDA) Kalimantan Barat, Balai Taman Nasional Gunung Palung (TANAGUPA), Yayasan Inisiasi Alam Rehabilitasi Indonesia (YIARI) serta masyarakat setempat.
Pasukan penyelamat yang tiba kira-kira jam 7 pagi terpaksa menggunakan senapang pelali bagi memastikan keselamatan haiwan berkenaan dan anggota operasi.
Bagaimanapun, pergerakan ketiga-tiga orang utan yang masih aktif menyebabkan proses berkenaan mengambil masa sehingga kira-kira lapan jam sebelum semuanya dapat dibius dan dibawa keluar dengan selamat.
Tiga orang utan berkenaan ialah seekor induk dikenali sebagai Mama Yuni, anaknya Yuni dan seekor orang utan remaja dikenali sebagai Pura.
Selepas diselamatkan, ketiga-tiganya menjalani pemeriksaan kesihatan dan diberikan cecair intravena bagi memastikan keadaan fizikal mereka stabil.
Mama Yuni, Yuni dan Pura kemudian dipindahkan ke Taman Nasional Gunung Palung yang dikenal pasti sebagai kawasan lebih selamat serta mempunyai habitat sesuai untuk spesies berkenaan.
Perjalanan ke lokasi pelepasan mengambil masa kira-kira lima jam menggunakan pengangkutan darat dan air sebelum ketiga-tiganya dilepaskan ke kawasan hutan yang jauh daripada penempatan manusia.
Menurut laporan itu, ketiga-tiga orang utan berkenaan sebenarnya sudah dikesan berada di kawasan perkebunan penduduk Desa Tanjungpura sejak awal tahun ini.
Pasukan Orangutan Protection Unit (OPU) YIARI sebelum ini melakukan pemantauan kerana kehadiran haiwan berkenaan berhampiran kawasan penduduk berpotensi mencetuskan konflik manusia-hidupan liar.
Kebakaran hutan yang berlaku kemudian dipercayai menjejaskan laluan pergerakan orang utan berkenaan, sekali gus meningkatkan risiko haiwan itu terperangkap berhampiran kawasan penempatan.
Insiden itu berlaku ketika kebakaran hutan dan tanah di Kalimantan menjadi perhatian susulan peningkatan titik panas serta kabut asap yang turut menimbulkan kebimbangan mengenai kesannya terhadap biodiversiti dan kemungkinan jerebu merentas sempadan.
Sumber: Kompas.com



