Saya tidak nampak apa-apa bukti penyelewengan dan kecurian – Dr Madinah

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad mengesahkan tidak menemui apa-apa bukti penyelewengan atau kecurian semasa memegang jawatan berkenaan dari tahun 2017 hingga 2019 dalam Lembaga Tabung Haji (TH) pada masa itu.

“Semasa saya menjadi Ketua Audit Negara, saya tidak nampak apa-apa bukti sedemikian… yakinlah, kalau saya dan pasukan saya menemui bukti-bukti tersebut saya sudah cakap tadi bukan saya tidak sembunyikan malah saya akan ‘highlight’ dan saya akan laporkan pihak berwajib,” katanya.

Dr Madinah menjawab pertanyaan dalam sesi soal jawab pada program ‘Musyawarah Nasional : Realiti dan Persepsi, Jangan Mempolitikkan Tabung Haji’ yang diadakan di ibu negara hari ini.

Beliau menjawab soalan dari Pengerusi Veteran UMNO Malaysia, Datuk Othman Desa yang ingin tahu adakah wujud bukti atau dapatan melibatkan penyelewengan atau kecurian dana dari TH seperti yang sentiasa diucapkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang wujudnya “sakau” dalam TH.

Dr Madinah berkata amanah yang beliau pikul sangat jelas iaitu membuat audit berdasarkan piawaian dan berdasarkan bukti-bukti serta pihak Jabatan Audit Negara sudah mengeluarkan sijil berkaitan proses itu.

“Mandat saya sangat-sangat jelas, kami membuat pengauditan berdasarkan piawaian, berdasarkan bukti-bukti pengauditan dan kami telah keluarkan penyata atau sijil.

“Ada ke dalam tu disebut ada penyelewengan ke? Ada kecurian? Ada tak sebut? Tak ada,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa tidak dapat menjawab soalan Othman kerana tidak menemui apa-apa bukti seperti yang ditanyakan dan beliau turut menyatakan bahawa beliau tidak memahami apa maksud ‘sakau’.

Musyawarah Nasional adalah satu platform perbincangan yang diasaskan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berfungsi sebagai ruang untuk menyatukan pelbagai lapisan masyarakat, golongan profesional, ahli akademik, tokoh agama dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Ahmad Zahid turut hadir hari ini bersama Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Setiausaha Agung Perikatan Nasional Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

author avatar
Ibnu Khusairy Aris
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat