KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari menempelak komen-komen negatif pengkritik berkait lelongan tongkat Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang dengan harga RM16,500 yang didakwa ada yang nak sembah tongkat dan mengkeramatkan tongkat.
Tegas Fadhli harga RM16,500 Tongkat kayu kemuning milik Presiden Pas itu adalah nilai munasabah berbanding lelongan gambar pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang dilelong RM500,000.
“Bila tongkat Presiden Pas berjaya dilelong semalam di makan malam Pas Melaka dengan harga RM16,500, berduyun-duyun ceplos memberi komen kononnya ada yang nak sembah tongkat, ‘mengkeramatkan’ tongkat dan lain-lain.
“Rilek bro, itu baru RM16,000, nilaian yang munasabah sahaja. Kalau itu sudah dianggap mengkeramatkan tongkat, ketika gambar pemimpin PH dilelong RM500k, itu tentu lebih jauh dari mengkeramat.
“Cumanya gambar pemimpin PH ni dilelong ketika PH jadi kerajaan. Nanti PH jadi pembangkang kelak, cuba lelong gambar sekali lagi, tengok nilai berapa laku,” bidas Ahli Parlimen Pasir Mas itu.
Tongkat kayu kemuning milik Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang mencuri perhatian apabila dilelong pada harga RM16,500 pada Majlis Makan Malam Amal Pas Melaka, di Ayer Keroh, malam tadi.
Tongkat tertera parap TGHH yang bermaksud ‘Tuan Guru Haji Hadi’ itu dilelong khas dengan persetujuan Hadi bagi membantu jentera Pas menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak lama lagi.
Tongkat itu mula dibida pada harga RM2,500 sebelum berjaya dibeli bekas pendaki Gunung Everest negara yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Kawasan Lembah Pantai Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin pada harga RM16,500.
Untuk rekod pada 2018, gambar yang dirakam pada sidang media pertama pemimpin Pakatan Harapan (PH) selepas Tun Dr Mahathir Mohamad mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ketujuh pada 10 Mei lalu, dilelong pada harga RM500,000.
Gambar tersebut dirakam sehari selepas PH memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan ia dibeli oleh seorang pembida tempatan selepas bidaan dibuka pada harga RM100,000.
Sebanyak enam keping gambar pemimpin PH berjaya dilelong dengan jumlah RM1.22 juta pada Majlis Makan Malam Amal PH.



