KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) semalam telah melakukan Operasi Penguatkuasaan Bersasar dengan menggempur kawasan penempatan sekitar Jalan Chow Kit dengan kekuatan seramai 52 orang anggota Penguatkuasa JIM Kuala Lumpur.
Dalam satu kenyataan, JIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) memaklumkan operasi berkenaan seiring dengan Operasi Penguatkuasaan Serentak Seluruh Negara oleh JIM.
“Operasi yang bermula tepat jam 12.15 pagi hari ini telah digerakkan secara bersepadu.
“Pemilihan lokasi ini dibuat susulan risikan pemantauan yang mendapati kawasan penempatan tersebut mempunyai rekod kehadiran dan kepadatan warganegara asing yang sangat tinggi,” katanya.
Menurut kenyataan itu, sepanjang operasi gempur ini berlangsung, pasukan penguatkuasa telah melakukan pemeriksaan teliti ke atas 178 orang individu.
“Daripada jumlah tersebut, seramai 85 orang warganegara asing yang berumur di antara 16 hingga 53 tahun telah ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen.
“Kesemua tahanan ini terdiri daripada 68 orang lelaki dan 17 orang perempuan,” katanya.
Kenyataan itu menyebut pecahan tangkapan mengikut warganegara pula merekodkan penahanan warga Indonesia seramai 25 orang lelaki dan 16 orang perempuan.
Turut ditahan adalah 24 lelaki warga India, 12 lelaki warga Bangladesh, empat lelaki warga Nepal, tiga lelaki warga Pakistan, serta seorang perempuan warga Myanmar.
“Antara kesalahan utama yang telah dikenal pasti melanggar peruntukan Akta Imigresen adalah tiada dokumen pengenalan diri yang sah, tinggal lebih masa di negara ini, melanggar syarat pas yang dikeluarkan, serta memegang kad pengenalan diri yang tidak diiktiraf,” menurutnya.
JIM WPKL menyatakan kesemua 85 orang tahanan telah pun dibawa dan ditempatkan di Depot Imigresen Bukit Jalil bagi tujuan siasatan terperinci dan tindakan susulan.
“JIM WPKL sentiasa komited dan tidak akan berkompromi dalam melaksanakan operasi penguatkuasaan bagi membanteras lambakan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), terutamanya di sekitar ibu kota, demi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara,” katanya.



