PM dan Isteri ziarah TPM Fadillah Yusof di IJN, turut ziarah Ismail Sabri

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah semalam meluangkan masa melawat bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang sedang menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Terdahulu, Anwar dan isteri meluangkan masa meziarahi Timbalan Perdana Menteri Datuk Fadillah Yusof yang juga sedang menjalani rawatan di sana.

“Semalam saya dan Azizah diberi kesempatan untuk menziarahi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Haji Fadillah Yusof yang kini sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

“Alhamdulillah, keadaan kesihatan beliau semakin baik, namun masih memerlukan rehat yang secukupnya atas nasihat pasukan perubatan.

“Atas dasar persahabatan, kami turut menziarahi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga sedang menerima rawatan di IJN dan masih memerlukan pemantauan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Ismail Sabri sebelum itu dimasukkan ke IJN pada 6 Ogos lepas kerana mengalami masalah kesihatan semasa memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.

Keesokannya, beliau menjalani prosedur untuk memasang alat perentak jantung.

“Saya dan Azizah mendoakan agar kedua-duanya dikurniakan kesembuhan yang segera, dipermudah segala urusan rawatan serta terus dikurniakan keafiatan dan kekuatan untuk meneruskan khidmat kepada rakyat dan negara, insya-Allah,” kata Anwar.

Kemasukan mengejut Ismail Sabri ke hospital ini berlaku hanya beberapa jam sebelum beliau dijadualkan hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk menghadapi pertuduhan di bawah Akta SPRM berkaitan isu pengisytiharan harta.

Susulan keadaan kesihatan tersebut, hakim telah membenarkan permohonan untuk menangguhkan prosiding mahkamah beliau ke 27 Ogos 2026.

author avatar
Ibnu Khusairy Aris
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat