Saya tegur KKM sebab mereka gagal tunai janji – Onn Hafiz

JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan tindakannya berulang kali menegur Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung kekurangan doktor dan jururawat bukan bertujuan mempolitikkan isu kesihatan, sebaliknya kerana kementerian itu masih belum menunaikan janji yang dibuat kepada Johor.

Menurutnya, masalah kekurangan petugas kesihatan di negeri itu kini berada pada tahap kritikal meskipun isu berkenaan telah dibangkitkan kerajaan negeri sejak 2023.

Malah, katanya, KKM pada tahun lalu telah menghadap Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dan bersetuju untuk menyelesaikan isu perjawatan berkenaan.

“Kerajaan Negeri terpaksa menyeru dan menuntut janji yang telah dibuat oleh KKM melalui media dan media sosial kerana isu ini telah dibangkitkan secara baik sejak tahun 2023 lagi.

“Malangnya sehingga kini, masalah perjawatan yang membelenggu sektor kesihatan di Johor masih belum diselesaikan. Sebab itu, saya terpaksa terus menyeru untuk menuntut agar janji yang telah dibuat oleh pihak KKM dikotakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Onn Hafiz berkata demikian ketika menjawab kenyataan pihak yang disifatkannya sebagai “orang-orang politik” yang mendakwa kerajaan negeri hanya tahu menyeru KKM dan segala usaha dilakukan sekadar “wayang”.

Beliau menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai fitnah dan menegaskan kerajaan negeri tidak akan sesekali berkompromi dalam perkara membabitkan nyawa, kesihatan serta kebajikan Bangsa Johor.

Menurut Onn Hafiz, KKM sebelum ini bersetuju untuk segera mengisi kekosongan jawatan kritikal di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Hospital Kulai, selain menambah tenaga kerja di Hospital Pasir Gudang.

Bagaimanapun, masalah perjawatan berkenaan masih belum diselesaikan sehingga kini.

Beliau turut menjelaskan bahawa soal penempatan petugas kesihatan berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan sebagaimana isu kekurangan guru perlu dirujuk kepada Kementerian Pendidikan dan kekurangan pegawai imigresen kepada Kementerian Dalam Negeri serta Jabatan Imigresen.

Katanya, beliau juga dimaklumkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah memberikan mandat kepada KKM untuk mengurus serta mengagihkan perjawatan mengikut keperluan fasiliti kesihatan.

Dalam pada itu, Onn Hafiz menolak dakwaan kerajaan negeri hanya menjadi pemerhati dan pendesak sementara menunggu penyelesaian KKM.

Menurutnya, Johor telah membiayai penempatan doktor locum di hospital utama termasuk HSA dan HSI bagi membantu Jabatan Kecemasan mengurangkan tempoh menunggu dan beban petugas sedia ada.

Kerajaan negeri turut menubuhkan Southern Volunteers Healthcare, menaik taraf lebih 460 bilik pantri di fasiliti kesihatan, menyediakan penghantaran ubat secara pos serta memperluaskan kemudahan Locker4U.

Selain itu, kerajaan negeri menyediakan ambulans tambahan, bantuan aset dan peralatan perubatan serta melaksanakan Klinik Decanting bagi mengurangkan kesesakan di fasiliti kesihatan.

Johor turut menjalinkan kerjasama dengan sektor swasta termasuk KPJ Healthcare bagi mendapatkan bantuan dari sudut kepakaran dan tenaga kerja.

“Maka jelaslah Kerajaan Negeri Johor bukan sekadar ‘wayang’ bila melibatkan nyawa, kesihatan dan kebajikan Bangsa Johor.

“Seperti yang saya katakan, kami hanya menuntut apa yang dijanjikan. Sebab itu kita bersuara dan menyeru pihak yang mempunyai kuasa supaya melaksanakan tanggungjawabnya,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat