KUALA LUMPUR – Wanita PKR menzahirkan sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memperkukuh perpaduan parti serta meneruskan agenda reformasi demi rakyat dan negara.
Wanita PKR dalam kenyataan media pada Jumaat turut mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Amirudin Shari atas kepercayaan yang diberikan untuk menggalas tanggungjawab baharu, serta menzahirkan keyakinan bahawa Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan cemerlang.
“Wanita PKR turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Nurul Izzah Anwar atas jasa, pengorbanan dan sumbangan besar beliau dalam memperkukuh perjuangan serta membina kepimpinan generasi baharu.
“Segala bakti beliau akan terus dihargai dan menjadi inspirasi kepada seluruh warga PKR khususnya wanita dan anak muda.
“Wanita PKR menyeru seluruh anggota parti untuk terus bersatu hati, memperkukuh saf serta meneruskan agenda reformasi demi rakyat dan negara,” katanya.



