KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan bakal menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) petang ini selepas dimasukkan ke pusat rawatan itu ketika berada dalam jagaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam.
Menurut sumber, Ismail Sabri diambil pegawai SPRM dari kediamannya pada pagi Khamis sebelum dibawa ke Ibu Pejabat SPRM Kuala Lumpur bagi membantu siasatan.
Bagaimanapun, pada sebelah petang, Ahli Parlimen Bera itu dikatakan mengadu mengalami sakit dada ketika berada di SPRM.
Susulan itu, pegawai SPRM membawanya ke IJN untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Sumber memberitahu, Ismail Sabri masih menerima rawatan di IJN dan dijangka menjalani satu prosedur pembedahan pada petang ini.
Ismail Sabri sebelum ini turut dilaporkan menerima rawatan di sebuah hospital swasta minggu lalu selepas terjatuh dan kepalanya terhantuk.
Perkembangan itu berlaku ketika bekas Perdana Menteri berkenaan dijadualkan menghadapi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini.
Media semalam melaporkan Ismail Sabri dijangka didakwa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dengan kes berkenaan dipercayai berkaitan pengisytiharan hartanya kepada agensi antirasuah itu.
Berdasarkan semakan sistem mahkamah yang dilaporkan media, pertuduhan terhadap Ismail Sabri dijadualkan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Suzana Hussin pada jam 9 pagi ini.
Ismail Sabri sebelum ini beberapa kali dipanggil SPRM untuk dirakam keterangan berhubung pengisytiharan hartanya.
Siasatan terhadap bekas Perdana Menteri itu sebelum ini turut mendapat perhatian selepas SPRM menyita kira-kira RM170 juta wang tunai.
Wang tunai berkenaan dilaporkan ditemukan dalam serbuan ke atas beberapa kediaman serta premis yang dipercayai digunakan sebagai ‘safe house’ susulan siasatan terhadap empat bekas pegawai kanan Ismail Sabri.
Bagaimanapun, setakat ini belum dapat dipastikan sama ada aset yang disita itu mempunyai kaitan secara langsung dengan pertuduhan yang akan dihadapi beliau hari ini.
Sementara itu, The Star melaporkan pihak pendakwaan mungkin memohon kebenaran mahkamah supaya pertuduhan terhadap Ismail Sabri dibacakan di IJN sekiranya keadaan kesihatannya tidak membolehkan beliau hadir ke mahkamah.
Permohonan itu bagaimanapun tertakluk kepada keputusan hakim serta nasihat doktor yang merawat bekas Perdana Menteri berkenaan.


