Puad Zarkashi gesa Anwar tamatkan MOU BN-PH, dakwa Zahid lebih percaya PN

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menamatkan lebih awal memorandum persefahaman (MOU) Kerajaan Perpaduan susulan keputusan Barisan Nasional (BN) bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan Negeri Sembilan.

Beliau mendakwa keputusan tersebut menunjukkan kepercayaan antara BN dan Pakatan Harapan (PH) tidak lagi wujud, sekali gus menjadikan alasan bahawa kerjasama politik di peringkat negeri berbeza daripada kerajaan Persekutuan tidak lagi relevan.

“Tahniah BN-PN atas kejayaan menawan Negeri Sembilan. Sudah tentu formula BN-PN akan diteruskan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan seterusnya Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

“Maka sudah sampai masanya MOU Kerajaan Perpaduan, khususnya BN-PH, ditamatkan lebih awal. Tiada sebab MOU itu diteruskan. Batalkan sahaja. Tidak perlu berpura-pura lagi,” katanya menerusi dua hantaran di Facebook.

Puad berkata, tindakan serang-menyerang antara BN dan PH sepanjang kempen pilihan raya membuktikan hubungan kedua-dua gabungan itu semakin retak, selain mendakwa PAS turut mengambil kesempatan daripada keadaan tersebut.

Menurut beliau, perbezaan pendirian antara BN dan PH berhubung Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai Lembaga Tabung Haji menjadi contoh jelas bahawa kebersamaan dalam Kerajaan Perpaduan semakin terhakis.

“PH membuat tafsiran lain, BN-PN pula membuat tafsiran lain semasa kempen. Tiada lagi kebersamaan. Lebih baik berpisah dengan cara baik.

“Rasanya BN sudah rela menjadi pembangkang sebelum PRU16,” katanya.

Puad turut mengulas kenyataan bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa bahawa kemenangan 18 kerusi oleh BN belum mencukupi untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

Annuar dilaporkan berkata, tujuh kerusi yang dimenangi PN bukan sahaja membolehkan kerajaan BN-PN dibentuk, malah memberikan gabungan tersebut majoriti dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri.

Bagaimanapun, Puad menyifatkan kenyataan itu sebagai bernada angkuh kerana seolah-olah menggambarkan BN terhutang budi kepada PN dalam pembentukan kerajaan negeri berkenaan.

“Bunyinya macam angkuh. PN ada dua jasa besar. Pertama, menolong BN menubuhkan kerajaan. Kedua, membantu BN mendapat majoriti dua pertiga,” katanya.

Menurut Puad, BN sebenarnya mempunyai pilihan untuk membentuk kerajaan bersama PH berdasarkan gabungan 18 kerusi BN dan 11 kerusi PH.

Namun, katanya, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memilih PN sebagai rakan pembentukan kerajaan dan mahu formula berkenaan diteruskan dalam PRN Melaka.

“Sebenarnya boleh sahaja ditubuhkan kerajaan BN-PH, iaitu 18 campur 11 kerusi. Tetapi kali ini Zahid lebih percaya kepada PN.

“Zahid mahu formula ini diteruskan di Melaka. Sebab itu PMX sewajarnya menamatkan lebih awal MOU BN-PH dalam Kerajaan Perpaduan.

“Sudah tidak wujud kepercayaan antara BN-PH. Maka, mengapa perlu diteruskan?” soalnya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat