Orang Melayu boleh hilang tanah air jika gagal kuasai politik – Sanusi bukan rasis

SEREMBAN – Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengingatkan, orang Melayu supaya tidak hilang kesedaran politik dan jangan tak peduli politik kerana melalui politik juga sesuatu bangsa boleh hilang tanah air.

Sanusi berkata, kenyataannya mengenai Tanah Melayu bukan bertujuan mengungkit sejarah atau menyentuh mana-mana kaum, sebaliknya sebagai peringatan supaya perkara yang telah dipersetujui ketika pembentukan negara tidak diubah secara beransur-ansur.

“Ucapan saya dalam ceramah di Negeri Sembilan itu bukanlah nak mengungkit, tetapi saya nampak trend ke arah usaha memunggah secara senyap perkara yang telah dipersetujui dalam kontrak sosial dan Perlembagaan Persekutuan.

“Saya cuma mengingatkan inilah asas yang telah kita persetujui untuk hidup bermasyarakat. Kita hidup aman dan tidak ada masalah, jadi jangan cuba memunggah apa yang telah diikat kerana ia akan menyentuh perkara sensitif serta hanya mengeruhkan keadaan,” katanya.

Pengarah Pilihan Raya Pas itu menjelaskan, kecenderungan tersebut dapat dilihat dalam perjuangan DAP, walaupun mengakui perkara itu mungkin belum dapat dibuktikan secara nyata.

“Saya nampak bau-bau ke arah itu. Pemimpin politik kena cakna dengan perkembangan seperti ini,” katanya memetik portal Kedah Online.

Sanusi tegaskan, peringatan itu sebenarnya ditujukan kepada orang Melayu supaya tidak hilang kesedaran politik kerana sejarah membuktikan sesuatu bangsa boleh kehilangan tanah air apabila gagal menguasai politik.

“Saya bercakap kepada bangsa saya sendiri. Orang Melayu jangan hilang kesedaran politik dan jangan tak peduli politik kerana melalui politik juga sesuatu bangsa boleh hilang tanah air,” katanya.

Hal demikian Sanusi menegaskan dirinya bukan bersikap rasis atau perkauman, sebaliknya mahu mengingatkan orang Melayu agar memahami sejarah serta mempertahankan asas Perlembagaan Persekutuan dan kontrak sosial.

Katanya, persepsi kononnya beliau bersikap perkauman sengaja dicetuskan pihak tertentu sedangkan dirinya sendiri mempunyai darah keturunan China daripada sebelah datuknya.

“Datuk saya sendiri berasal dari China. Saya tak ada perasaan rasis. Realitinya, tanah ini memang Tanah Melayu, ucapan saya dimanipulasi untuk bina persepsi kononnya saya bersifat perkauman, rasis,” katanya.

Beliau turut mengaitkan perkara itu dengan sejarah masyarakat Rohingya di Arakan serta konflik Palestin sebagai contoh, bagaimana perubahan politik boleh memberi kesan kepada kedudukan sesuatu bangsa di tanah air sendiri.

“Ambil pengajaran daripada sejarah negara terbabit, kerana tidak menguasai politik, politik dikuasai orang lain, mereka hilang negara. Jadi penting kita memahami dengan jelas sesuatu perkara,” katanya.

Sanusi turut meminta rakyat memahami sejarah pembentukan negara, yang mana kemasukan masyarakat Cina dan India pada zaman penjajahan British akhirnya membawa kepada rundingan yang membentuk kontrak sosial serta Perlembagaan Persekutuan sebelum negara mencapai kemerdekaan.

Katanya, dokumen perbahasan di Parlimen British ketika itu juga merujuk Tanah Melayu sebagai ‘the only Malay land’, selain membincangkan proses pemberian kewarganegaraan kepada masyarakat yang dibawa masuk oleh British.

Beliau berkata, identiti negara yang termaktub dalam Perlembagaan termasuk kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, institusi Raja-Raja Melayu, bahasa Melayu serta hak istimewa orang Melayu merupakan perkara yang telah dipersetujui bersama ketika pembentukan negara.

“Perlembagaan kita menetapkan Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu, Raja-Raja Melayu dan hak keistimewaan orang Melayu. Semua itu dipersetujui bagi mengekalkan identiti negara ini sambil menerima kaum lain sebagai warganegara,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat memahami sejarah secara menyeluruh dan bukan sekadar menghafal fakta.

“Kita kena memahami sejarah, bukan sekadar menghafal. Bila kita faham perjalanan sejarah, kita boleh menghubungkan setiap peristiwa dan melihat gambaran besar yang membawa kita kepada keadaan negara hari ini.

“Sejarah yang membawa kita sampai ke tahap ini. Setiap perjalanan yang kita lepasi dipanggil sejarah. Faham apa yang telah terjadi sehingga membawa kita berada pada situasi seperti ini,” ujarnya.

Pada 23 Julai lalu, ketika berucap dalam ceramah di Negeri Sembilan, Sanusi menyatakan, “Melayu tak ada dah tanah. Melayu ada Tanah Melayu ini saja. Orang India ada India. Orang Cina ada China. Orang Kemboja ada Kemboja. Orang Siam ada Thailand. Melayu di mana? Melayu di sini saja.”

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat