SEREMBAN – Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan perlu kembali kepada perbahasan dasar, fakta dan penyelesaian kepada rakyat, bukannya memainkan sentimen kaum atau mengheret institusi raja ke dalam gelanggang politik.
Penasihat Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, corak kempen kali ini menyaksikan beberapa polemik yang tidak sihat apabila terdapat pihak cuba mengeksploitasi isu perkauman dan institusi diraja bagi meraih sokongan pengundi.
Menurut beliau, perkembangan itu berbeza berbanding beberapa pilihan raya sebelum ini kerana isu-isu sensitif berkenaan dibangkitkan secara terbuka oleh tokoh politik yang berpengalaman.
“Saya rasa ini tidak sihat dan pada masa yang sama kita perlu melihat bagaimana impaknya kepada pengundi-pengundi kita,” katanya dalam wawancara khas Mandat Negeri Sembilan bersama Suara TV.
Beliau berharap pengundi dapat membuat penilaian secara matang terhadap segala dakwaan dan naratif yang berlegar sepanjang tempoh kempen.
Menurut Tengku Zafrul, era media sosial menyebabkan sesuatu isu mudah menjadi tular sehingga mampu mempengaruhi persepsi masyarakat dalam tempoh singkat sekiranya tidak dinilai berdasarkan fakta.
Beliau berkata, institusi raja tidak seharusnya dijadikan bahan kempen politik atau digambarkan seolah-olah berpihak kepada mana-mana parti kerana tindakan sedemikian hanya mengundang salah faham dalam kalangan rakyat.
Dalam masa sama, beliau turut menegur kecenderungan sesetengah pihak memainkan sentimen perkauman bagi memancing sokongan ketika pilihan raya.
Katanya, persaingan politik sepatutnya memberi ruang kepada parti-parti menawarkan dasar, polisi dan penyelesaian terbaik kepada rakyat, bukannya membangkitkan isu yang boleh menggugat keharmonian masyarakat.
“Kalau nak menang undi pun kalau boleh gunalah isu-isu yang lebih berdasarkan fakta, berdasarkan angka ataupun berdasarkan polisi atau dasar daripada gunakan isu perkauman ataupun isu agama,” katanya.
Beliau menegaskan rakyat kini semakin matang dan mampu menilai prestasi serta tawaran setiap parti berdasarkan rekod pentadbiran, bukannya dipengaruhi sentimen yang boleh memecah-belahkan masyarakat.
Tengku Zafrul turut mengingatkan bahawa pilihan raya seharusnya menjadi medan pertandingan idea untuk menentukan hala tuju pembangunan negeri, bukannya platform mencetuskan polemik yang boleh menjejaskan perpaduan rakyat.
Beliau berkata, kempen yang sihat akan memberi manfaat kepada demokrasi kerana pengundi dapat membuat keputusan berdasarkan maklumat yang tepat, sekali gus memilih kerajaan yang benar-benar mampu memenuhi keperluan rakyat.



