SEREMBAN — Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) masih belum memutuskan calon Menteri Besar sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perkara itu masih belum dibincangkan secara khusus oleh kepimpinan kedua-dua gabungan kerana fokus ketika ini adalah memastikan kemenangan pada pilihan raya.
Menurut beliau, masih banyak perkara yang belum diperincikan, namun rundingan antara kepimpinan BN dan PN berjalan dengan baik tanpa sebarang kesukaran.
“Saya rasa Datuk Seri Jalal pun dah sebut tadi bahawa kita belum bincang tentang perkara itu. Dan sebenarnya banyak perkara yang kita belum bincang.
“Tapi sebagaimana yang saya sebutkan tadi, kita dapati bahawa perbincangan di antara kepimpinan Barisan Nasional dan Perikatan Nasional tidak sukar sebenarnya.
“Dan saya jangka tidak ada isu yang akan timbul apabila sampai waktu dan ketikanya pada 1 Ogos ini. It will be smooth,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program Nogori Beradat Kito Sepakat yang dianjurkan oleh Muafakat Nasional di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau diminta mengulas sama ada BN dan PN telah mencapai kata putus berhubung pelantikan Menteri Besar sekiranya gabungan itu memperoleh majoriti dan berjaya membentuk kerajaan negeri selepas keputusan PRN diumumkan.
Ahmad Samsuri berkata, hubungan dan persefahaman antara kepimpinan kedua-dua gabungan berada dalam keadaan baik serta yakin sebarang keputusan berkaitan pembentukan kerajaan negeri dapat dicapai secara harmoni apabila tiba masanya.
Beliau turut memberi bayangan bahawa isu pelantikan Menteri Besar bukan menjadi keutamaan ketika ini kerana kedua-dua gabungan memberi tumpuan penuh kepada usaha meraih mandat rakyat pada hari pengundian.
Dalam perkembangan sama, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, BN dan PN akan membentuk kerajaan secara bersama sekiranya gabungan itu diberi mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Beliau berkata, justeru tidak timbul soal sama ada PAS menggunakan manifesto BN atau membawa manifesto secara berasingan kerana kedua-dua pihak akan bergerak sebagai sebuah kerajaan.
“Kita akan membentuk kerajaan secara bersama dan tentunya, sebagaimana yang saya sebut dalam pelancaran malam tadi, bahawa apa yang kita bentangkan pada malam tadi adalah merupakan complement kepada kerangka asal, kerangka yang lebih komprehensif yang telah dibentangkan oleh Barisan Nasional.
“Jadi tidak timbul siapa ikut siapa. Kita akan bawa bersama,” katanya.


