Manifesto BN Negeri Sembilan, tawar pelan realistik berteraskan kestabilan dan pembangunan – Jalaluddin Alias

SEREMBAN – Barisan Nasional (BN) melancarkan manifesto bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dengan menawarkan pelan pembangunan yang disifatkan realistik dan boleh dilaksanakan, sambil menjadikan kestabilan politik sebagai asas utama untuk menjamin kemajuan ekonomi serta kesejahteraan rakyat negeri itu.

Manifesto yang dilancarkan di D’Tempat, Sendayan pada Jumaat itu dibentangkan oleh Pengarah Pilihan Raya BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang menegaskan bahawa dokumen tersebut bukan sekadar himpunan janji pilihan raya, sebaliknya komitmen pentadbiran sekiranya BN diberi mandat mentadbir negeri selepas PRN nanti.

Menurut beliau, manifesto berkenaan dibangunkan hasil proses libat urus yang menyeluruh dengan pelbagai kelompok masyarakat selepas kepimpinan BN turun ke seluruh Negeri Sembilan sejak beberapa bulan lalu bagi mendengar sendiri harapan dan keperluan rakyat.

Katanya, maklum balas yang diterima daripada anak muda, petani, usahawan, penjawat awam, wanita, warga emas, masyarakat FELDA serta Orang Asli menjadi asas kepada pembentukan manifesto berkenaan.

“Rakyat hari ini tidak meminta keajaiban. Mereka hanya mahukan sebuah kerajaan yang boleh dipercayai, sebuah kerajaan yang mendengar, bekerja dan menunaikan amanahnya,” katanya.

Beliau berkata, pilihan raya kali ini bukan sekadar menentukan siapa yang akan menjadi wakil rakyat atau membentuk kerajaan negeri, tetapi jauh lebih besar daripada itu kerana ia melibatkan hala tuju masa depan Negeri Sembilan.

Menurutnya, pengundi akan menentukan sama ada negeri itu terus dipacu oleh sebuah kerajaan yang stabil dan mampu memperkasakan pembangunan serta ekonomi rakyat, atau berdepan ketidaktentuan yang boleh menjejaskan agenda pembangunan.

Jalaluddin berkata, pengalaman politik negara sejak beberapa tahun lalu membuktikan bahawa kestabilan bukan lagi sekadar slogan politik, sebaliknya prasyarat kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Beliau menjelaskan bahawa tanpa kestabilan politik, pelabur akan hilang keyakinan, peluang pekerjaan menjadi semakin sukar diwujudkan dan pelaksanaan projek pembangunan juga akan terganggu.

“Politik yang tidak stabil bukan sekadar menukar kerajaan. Politik yang tidak stabil akhirnya memberi kesan kepada ekonomi, keyakinan pelabur, peluang pekerjaan dan kehidupan rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata BN memilih pendekatan politik yang sederhana, matang dan bertanggungjawab kerana percaya politik bukan sekadar untuk memenangi pilihan raya, sebaliknya mengenai tanggungjawab mentadbir negeri, menyelesaikan masalah rakyat serta meninggalkan legasi pentadbiran yang lebih baik kepada generasi akan datang.

Mengulas lanjut, Jalaluddin berkata BN tidak mahu mengemukakan manifesto yang dipenuhi janji-janji populis atau sukar dilaksanakan hanya untuk meraih sokongan pengundi.

Sebaliknya, katanya, setiap tawaran yang terkandung dalam manifesto itu telah dirangka secara realistik berdasarkan kemampuan kewangan kerajaan negeri serta keperluan sebenar rakyat.

Beliau berkata, manifesto yang baik bukanlah manifesto yang paling tebal atau mengandungi janji paling banyak, tetapi manifesto yang benar-benar mampu mengubah kehidupan rakyat dan boleh dipertanggungjawabkan pelaksanaannya.

Menurut beliau, manifesto BN merangkumi pelbagai aspek pembangunan yang menyentuh kehidupan rakyat secara menyeluruh, termasuk usaha memperkukuh ekonomi negeri, menarik lebih banyak pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti, meningkatkan taraf hidup rakyat serta memperkasakan pendidikan.

Selain itu, manifesto tersebut turut memberi perhatian kepada pembangunan belia, wanita, usahawan, sektor pertanian, pembangunan luar bandar, keselamatan, penyediaan perumahan, pemeliharaan alam sekitar, pembangunan industri pelancongan, pengukuhan perpaduan serta usaha meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Jelas beliau, semua tawaran itu dirangka dengan matlamat memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara menyeluruh oleh seluruh rakyat Negeri Sembilan tanpa mengira latar belakang dan lokasi tempat tinggal.

Dalam usaha memastikan manifesto itu tidak sekadar tinggal sebagai dokumen pilihan raya, BN turut mengumumkan penubuhan Unit Pemantauan Pelaksanaan Manifesto.

Menurut Jalaluddin, unit tersebut akan berfungsi memantau, menilai dan memastikan setiap komitmen yang dijanjikan dapat dilaksanakan sekiranya BN diberikan mandat mentadbir negeri.

Beliau menegaskan kejayaan sesebuah manifesto bukan diukur ketika ia dilancarkan, tetapi apabila rakyat dapat menikmati sendiri hasil daripada setiap dasar dan komitmen yang ditawarkan.

Pada masa sama, beliau mengingatkan seluruh jentera BN bahawa pelancaran manifesto hanyalah permulaan kepada perjuangan yang lebih besar sepanjang tempoh berkempen.

Katanya, tugas jentera bukan sekadar mengedarkan manifesto atau memasang bahan kempen, tetapi membawa mesej kepada rakyat dengan penuh kejujuran, menggunakan fakta dan bukannya fitnah, serta mengamalkan politik yang menyatukan masyarakat.

Beliau turut menyeru seluruh jentera BN di semua Dewan Undangan Negeri (DUN), Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan cawangan supaya bergerak sebagai satu pasukan bagi memastikan kemenangan gabungan itu.

Mengakhiri ucapan, Jalaluddin menggesa rakyat Negeri Sembilan menilai BN berdasarkan rekod pentadbiran, komitmen yang dibentangkan serta keupayaan gabungan itu melaksanakan amanah sekiranya diberikan mandat sekali lagi.

Beliau berkata seluruh rakyat berkongsi impian yang sama untuk melihat Negeri Sembilan terus aman, maju dan mampu menyediakan peluang kepada anak muda, kesejahteraan kepada setiap keluarga serta harapan kepada seluruh rakyat.

“Kestabilan dibina. Negeri dijaga. Rakyat dibela. Kemakmuran dicipta,” katanya ketika menutup ucapan pelancaran manifesto BN PRN Negeri Sembilan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat