JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mempertahankan keputusan Kerajaan Negeri melantik 10 Timbalan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Johor dengan menegaskan pelantikan itu dibuat mengikut ruang kuasa pentadbiran yang sah dan tidak bercanggah dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor.
Beliau berkata demikian bagi menjawab kritikan dan serangan politik beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang mempertikaikan pelantikan berkenaan.
Menurut Onn Hafiz, berdasarkan nasihat Penasihat Undang-Undang Negeri Johor, Timbalan EXCO bukan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan tidak mempunyai sebarang kuasa eksekutif.
“Mereka tidak mempunyai kuasa membuat keputusan bagi pihak EXCO, tidak menghadiri Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri dan tidak mempunyai kuasa meluluskan dasar, kewangan atau apa-apa keputusan eksekutif.
“Semua kuasa membuat keputusan kekal berada sepenuhnya di bawah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebagaimana yang diperuntukkan oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau menjelaskan pelantikan itu tidak mewujudkan kuasa eksekutif baharu, tidak memindahkan kuasa Ahli MMK dan tidak mengubah struktur pentadbiran kerajaan negeri atau mandat yang diberikan rakyat melalui pilihan raya.
Sebaliknya, katanya, ia hanyalah satu mekanisme pentadbiran bagi memperkukuhkan pelaksanaan dasar serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan.
Onn Hafiz turut menolak dakwaan bahawa pelantikan tersebut bertujuan menambah jawatan politik atau memperbesar birokrasi kerajaan.
Katanya, langkah itu diwujudkan bagi meningkatkan kapasiti pentadbiran supaya pelaksanaan dasar, pemantauan projek serta penyelesaian isu rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih cekap, pantas dan berkesan.
Beliau berkata, Johor kini sedang melaksanakan pelbagai agenda pembangunan berskala besar termasuk Johor Economic Transformation Plan (JETP), Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), projek RTS Link serta pelbagai projek berimpak tinggi menjelang tahun 2030.
“Seiring dengan perkembangan ini, kapasiti pentadbiran juga perlu diperkukuhkan agar setiap dasar dapat diterjemahkan kepada tindakan dan hasil yang memberi manfaat kepada Bangsa Johor,” katanya.
Menyentuh isu kewangan, Onn Hafiz berkata pelantikan itu hanya memberi implikasi kewangan yang minimum kerana menggunakan aset serta kemudahan sedia ada kerajaan negeri.
Beliau turut menegaskan tiada portfolio baharu diwujudkan dan tiada pertambahan struktur pentadbiran yang membebankan kewangan negeri.
Terdahulu, pelantikan 10 Timbalan EXCO Johor mencetuskan kritikan daripada beberapa pemimpin PH yang mempersoalkan keperluan jawatan tersebut serta asas perundangan pelaksanaannya.
Mengakhiri kenyataannya, Onn Hafiz menegaskan Kerajaan Negeri Johor akan terus mentadbir secara telus, berhemah dan bertanggungjawab dengan setiap keputusan dibuat berasaskan kepentingan rakyat, keperluan semasa dan usaha memperkukuhkan keupayaan pentadbiran negeri.



