CYBERJAYA, – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan terhadap satu kes membabitkan muat naik kandungan berunsur 3R (Race, Religion, Royalty) yang menyentuh Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.
MCMC memaklumkan seorang individu telah dipanggil bagi memberikan rakaman percakapan pada Isnin bagi membantu siasatan. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Menurut MCMC, pihaknya memandang serius penyebaran kandungan berunsur 3R, khususnya yang bersifat provokatif, menghina, menghasut kebencian atau berpotensi mencetuskan ketegangan dalam kalangan masyarakat.
Sehubungan itu, orang ramai diseru agar tidak menyentuh isu-isu 3R, lebih-lebih lagi sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN), selain menggunakan media sosial secara beretika, berhemah dan bertanggungjawab.
MCMC turut menasihatkan pengguna supaya mengelakkan penyebaran kandungan jelik melampau, hasutan atau fitnah yang boleh menjejaskan keharmonian serta ketenteraman negara.



