Kerajaan Perpaduan kini persimpangan, adakah akan terus dipelihara atau sebaliknya? – Mat Sabu

KUALA LUMPUR- Menuju hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) semakin jelas apabila mereka saling melengkapi 36 kerusi DUN yang akan dipertandingkan.

Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu berkata beliau mendukung Kerajaan Perpaduan dan Parti Amanah Negara yang berdiri teguh dalam membentuk kerajaan ini, kini berada di persimpangan.

“Apakah Kerajaan Perpaduan ini akan terus dipelihara, ataupun yang sebaliknya akan berlaku? Wallahua‘lam,” katanya.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu menyingkap kenangan manis sewaktu PH dan BN masih akrab.

“Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 pada tahun 2022 menyaksikan terbentuknya Kerajaan Perpaduan kerana tiada mana-mana pihak mempunyai majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

“Tidak pernah saya menyangka bahawa BN, yang sekian lama menjadi musuh politik kita, khususnya Pakatan Harapan, akan bersama-sama membentuk kerajaan atas nama perpaduan.

“Apatah lagi saya sendiri sebelum ini pernah berada dalam Pas.

“Saya sendiri tertanya-tanya, bagaimana hendak berhadapan dan bekerjasama dengan Umno yang telah begitu lama menjadi musuh politik saya? Namun, perubahan dalam pemikiran dan tindakan perlu dilakukan.

“Ujian pertama yang Allah Taala berikan ialah Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram apabila Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub meninggalkan kita. Saya kagum dan teruja dengan kerjasama yang diberikan oleh Umno dan BN.

“Kita berkempen bersama, makan bersama dan berjalan bersama-sama untuk memenangkan calon PH serta Kerajaan Perpaduan di Simpang Jeram dan Pulai,” katanya.

Kemudian Mat Sabu berkata, berlaku lagi beberapa pilihan raya kecil selepas itu. Hubungan dalam Kerajaan Perpaduan semakin erat.

“Dalam Pilihan Raya Kecil DUN Pelangai, kita bersama-sama turun bersungguh-sungguh untuk memenangkan calon Umno dan BN di Pelangai, Pahang.

“Diikuti dengan Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Baharu yang ditandingi calon DAP. Kita menyaksikan buat pertama kalinya pemimpin-pemimpin Umno dan BN turun membantu memenangkan calon DAP.

“Pilihan Raya Kecil Sungai Bakap juga begitu. Walaupun Pakatan Harapan kalah, kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan tetap erat.

“Apabila tiba Pilihan Raya Kecil DUN Nenggiri yang ditandingi calon Umno dan BN, kita daripada PH turun bersama-sama dan berhempas pulas sehingga kerusi DUN itu berjaya dirampas serta dimenangi oleh Umno dan BN, mewakili Kerajaan Perpaduan.

“Begitulah juga dalam Pilihan Raya Kecil DUN Mahkota. Pada peringkat awal, terdapat sedikit perselisihan tentang siapa yang layak bertanding dan parti mana yang patut meletakkan calon. Akhirnya, Umno dan BN bertanding, manakala PH bekerja keras sehingga calon Kerajaan Perpaduan memperoleh majoriti yang cukup besar,” ujarnya.

Kemudian diikuti pula dengan Pilihan Raya Kecil DUN Ayer Kuning, katanya, sekali lagi, calon Umno dan BN bertanding.

“PH bekerja keras bersama-sama Barisan Nasional untuk memenangkan calon Umno dan BN.

“Begitulah eratnya perpaduan yang telah dibentuk. Walaupun dahulunya kita bermusuhan, apabila berada dalam Kerajaan Perpaduan, kita saling membantu,” katanya.

Tetapi kini Mat Sabu berkata, persoalan apakah era itu akan tinggal sebagai sejarah apabila BN Johor mengisytiharkan mahu bergerak bersendirian?

“Pertama, sebaik sahaja DUN Johor dibubarkan pada 1 Jun 2026, BN mengisytiharkan bahawa mereka akan bertanding di kesemua 56 kerusi secara solo.

“Kemudian diikuti pula dengan kemelut yang berlaku di Negeri Sembilan.

“Paling mengejutkan, 14 Adun Umno dan BN menarik sokongan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, sekali gus membuka ruang kepada kemungkinan kerjasama dengan Adun pembangkang, termasuk Pas, untuk mengambil alih kerajaan negeri,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat