KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini adalah peluang untuk menolak mereka yang mempertahankan pencuri wang rakyat, serta menolak politik yang muflis idea dan hanya bergantung kepada hasutan kebencian kaum dan agama demi meraih undi.
Justeru Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Pakatan Harapan (PH) telah membuktikan keupayaan mentadbir Kerajaan Madani dengan melaksanakan reformasi penting.
Antaranya kata beliau Kerajaan Madani telah meningkatkan pelaburan, menaikkan gaji, menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan yang bermaruah serta menyelesaikan pelbagai masalah dan projek yang sekian lama tertangguh.
“Esok hari keramat yang bakal menentukan babak seterusnya dalam ceritera masa depan negeri dan rakyat Johor.
“Saya menyeru seluruh anak Johor, termasuk yang berada di perantauan supaya pulang dan menggunakan kuasa rakyat untuk memilih kepimpinan yang amanah, berwibawa dan benar-benar bekerja demi negeri ini.
“Semoga Allah SWT memberkati Johor dan mengurniakan negeri ini kepimpinan yang amanah serta membuka lembaran baharu yang lebih makmur, adil dan sejahtera untuk seluruh Bangsa Johor,” seru Pengerusi PH merangkap Presiden PKR itu lagi.
Justeru dengan penuh rendah hati dan hormat, Anwar memohon pengundi di Johor memberikan kepercayaan kepada PH untuk memimpin Johor dengan amanah, tatakelola yang baik serta menjamin keadilan dan peluang yang saksama untuk semua.
“Nasi ambeng dijamah bersama
Tanda kasih dalam jemaah
Kejayaan negara sebutan dunia
Bermula dengan jari yang memangkah.
“Johor ke depan. Undi PH,” rayu beliau.


