SEGAMAT — Pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bukan bergantung kepada usaha Kerajaan Negeri semata-mata, sebaliknya merupakan hasil kerjasama menyeluruh antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Johor dan Singapura.
Penasihat Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menjadikan pencapaian pelaburan dan pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sebagai antara isu utama, rakyat perlu memahami bahawa kejayaan merealisasikan projek strategik itu memerlukan penglibatan hampir semua kementerian dan agensi Kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata demikian dalam Wawancara Khas Suara TV sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ketika mengulas peranan Kerajaan Persekutuan dalam menjayakan pembangunan JS-SEZ.
“Apabila JS-SEZ diumumkan, ia melibatkan penyertaan hampir semua kementerian dan agensi utama Kerajaan Persekutuan. Selain Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), turut terlibat ialah Kementerian Ekonomi, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Digital serta pelbagai agensi lain.
“Ini kerana JS-SEZ bukan sekadar melibatkan pelaburan, malah turut merangkumi aspek perdagangan, pergerakan tenaga kerja, logistik, digitalisasi dan kemudahan rentas sempadan,” katanya.
Menurut beliau, pendekatan whole-of-government yang diamalkan membolehkan pelbagai agensi bekerjasama bagi memudah cara urusan pelabur melalui penubuhan InvestMalaysia Facilitation Centre di Johor.
Katanya, pusat berkenaan menghimpunkan agensi seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Tenaga Nasional Berhad serta beberapa agensi lain bagi mempercepatkan proses pelaburan dan meningkatkan keyakinan pelabur.
Tengku Zafrul turut mendedahkan beliau sendiri telah berulang kali mengadakan perbincangan dengan pihak Singapura bagi memastikan pelaksanaan JS-SEZ berjalan lancar.
“Pendekatan yang digunakan ialah whole-of-government atau kerjasama menyeluruh antara semua kementerian dan agensi.
“Dalam tempoh beberapa bulan sahaja, saya telah berkunjung ke Singapura hampir sepuluh kali bagi membincangkan pelbagai perkara berkaitan projek tersebut.
“Sebab itu saya berpandangan kejayaan JS-SEZ bukan bergantung kepada satu pihak sahaja, sebaliknya hasil kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri serta pihak Singapura,” katanya.
Dalam wawancara yang sama, beliau turut mengajak pengundi Johor menilai prestasi dan dasar yang dibawa Kerajaan Persekutuan serta percaya bahawa penyelarasan hala tuju antara kerajaan negeri dan Persekutuan mampu mempercepat pelaksanaan agenda pembangunan demi manfaat rakyat Johor.


