Dr. Maliki Dedah Isu Yang Paling Kerap Dibangkitkan Penduduk Parit Raja

BATU PAHAT, – Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N22 Parit Raja, Dr. Muhammad Maliki Muhammad Rafi mendedahkan beberapa isu yang paling kerap dibangkitkan penduduk sepanjang tempoh beliau berkempen menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu Wawancara Mandat Suara TV sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16, sambil menjelaskan bahawa hasil pertemuan bersama penduduk menunjukkan masyarakat mahukan seorang wakil rakyat yang sentiasa turun padang, mendengar sendiri masalah mereka dan bukan hanya hadir ketika musim pilihan raya.

“Sepanjang tempoh berkempen, rutin saya bermula seawal jam 5 pagi. Saya akan menunaikan solat Subuh berjemaah sebelum singgah di kedai-kedai kopi untuk bertemu penduduk. Di situlah saya mendengar sendiri pandangan dan keluhan mereka.

“Ramai yang berpesan supaya saya tidak hanya hadir ketika musim pilihan raya. Mereka mahu wakil rakyat yang sentiasa turun padang, duduk bersama masyarakat dan mendengar sendiri masalah yang mereka hadapi,” katanya.

Menurut beliau, antara isu yang paling kerap dibangkitkan ialah masalah banjir yang berlaku hampir setiap tahun, termasuk fenomena banjir termenung yang menyebabkan air bertakung dalam tempoh yang lama sehingga menjejaskan kehidupan penduduk.

Beliau berkata, keadaan itu memerlukan penyelesaian secara menyeluruh melalui usaha menaik taraf jalan utama yang menghubungkan kampung, menambah baik sistem saliran dan perparitan serta meningkatkan kesiapsiagaan masyarakat dalam menghadapi bencana.

Selain itu, Dr. Maliki berkata, pembangunan Parit Raja yang semakin pesat turut membawa cabaran baharu apabila jalan sedia ada semakin sempit, manakala kemudahan seperti laluan basikal dan infrastruktur mesra pengguna masih belum mencukupi.

Katanya, isu pengurusan sisa pepejal juga sering dibangkitkan penduduk kerana masih terdapat kawasan kampung yang belum menerima perkhidmatan kutipan sampah secara sistematik.

Dalam masa sama, beliau turut menerima keluhan daripada penjaja kecil yang memaklumkan ruang perniagaan mereka semakin terhad susulan pembangunan kawasan sekitar.

“Mereka berharap penyelesaian yang lebih adil dapat dicari supaya mereka dapat terus mencari rezeki tanpa menjejaskan pembangunan kawasan tersebut.

“Pada saya, semua isu ini perlu diberikan perhatian kerana ia memberi kesan secara langsung kepada kehidupan harian rakyat di Parit Raja,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya diberikan mandat pada PRN Johor Ke-16, isu-isu berkenaan akan menjadi antara keutamaan yang akan diperjuangkannya bagi memastikan pembangunan Parit Raja dapat dilaksanakan secara lebih seimbang tanpa mengabaikan kebajikan penduduk setempat.

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat