PTVM Seru Pendekatan Seimbang Perkukuh Kebajikan Kru, Kekalkan Kelangsungan Industri

KUALA LUMPUR — Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) menyeru agar sebarang usaha memperkukuh kebajikan kru produksi dilaksanakan secara menyeluruh dan seimbang dengan mengambil kira realiti operasi industri penerbitan serta kelangsungan syarikat penerbit.

Presidennya, Dato’ Jurey Latiff Rosli berkata, PTVM menyokong usaha meningkatkan kebajikan, keselamatan dan kesejahteraan kru produksi, namun dasar yang diperkenalkan perlu bersifat adil, praktikal serta mengambil kira kepentingan semua pihak dalam ekosistem industri kreatif.

Menurut beliau, kepentingan syarikat penerbit dan kebajikan kru tidak boleh dipisahkan kerana kedua-duanya saling bergantung dalam memastikan industri terus berkembang.

“Industri penerbitan yang sihat hanya dapat dibangunkan apabila penerbit dan kru bekerjasama serta memahami tanggungjawab masing-masing. Kebajikan kru perlu dipertingkatkan tanpa menjejaskan kelangsungan industri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PTVM turut mengulas pandangan yang dibangkitkan oleh Presiden PROFIMA berhubung isu waktu bekerja kru produksi dengan menegaskan bahawa perkara itu perlu dinilai daripada sudut undang-undang, operasi industri dan kelangsungan keseluruhan sektor penerbitan.

Menurut persatuan itu, operasi produksi berbeza daripada sektor pekerjaan konvensional kerana jadual penggambaran dipengaruhi pelbagai faktor termasuk keadaan cuaca, pencahayaan semula jadi, permit lokasi, jadual artis, logistik, penggunaan peralatan serta tarikh penyerahan program kepada penyiar atau platform digital.

PTVM menjelaskan kebanyakan kru dilantik berdasarkan kontrak bagi sesuatu projek yang memperincikan skop tugas, kadar bayaran dan tempoh perkhidmatan, sekali gus menjadikan model penglibatan industri ini berbeza daripada hubungan pekerjaan tetap.

Malah, PTVM berkata prinsip yang diperkenalkan menerusi Akta Pekerja Gig 2025 turut mengiktiraf kewujudan hubungan kerja berasaskan perjanjian perkhidmatan dalam keadaan tertentu, menunjukkan tidak semua bentuk pekerjaan boleh dinilai menggunakan pendekatan yang sama.

Sehubungan itu, persatuan berkenaan berpandangan adalah tidak wajar mewujudkan persepsi bahawa syarikat penerbit secara umumnya menekan atau mengeksploitasi kru kerana kejayaan sesebuah produksi bergantung kepada kerjasama semua pihak.

PTVM turut menegaskan bahawa kebajikan kru tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah jam bekerja semata-mata, sebaliknya merangkumi aspek kadar bayaran yang adil, keselamatan di lokasi penggambaran, perlindungan sosial, pembangunan kemahiran, peluang kerjaya serta persekitaran kerja yang selamat.

Dalam masa sama, PTVM mengingatkan bahawa industri kini berdepan pelbagai cabaran termasuk peningkatan kos operasi, persaingan daripada platform digital global, kekangan bajet penyiar dan tekanan menyiapkan projek mengikut jadual.

Menurutnya, pelaksanaan had waktu bekerja secara rigid tanpa mengambil kira keperluan operasi produksi berpotensi meningkatkan kos penggambaran, memanjangkan tempoh produksi serta mengurangkan jumlah penerbitan tempatan.

“Kesan akhirnya bukan sahaja kepada syarikat penerbit, malah boleh mengurangkan peluang pekerjaan kepada kru produksi sendiri,” katanya.

Justeru, PTVM mencadangkan supaya satu garis panduan industri yang komprehensif dirangka merangkumi aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan, tempoh rehat yang munasabah, kadar bayaran yang adil, perlindungan sosial, pembangunan kemahiran serta fleksibiliti operasi mengikut keperluan setiap produksi.

Dalam kenyataan sama, PTVM turut menyatakan pendirian tidak bersetuju sekiranya keahlian GAFEMA dijadikan syarat wajib dalam mana-mana bentuk penguatkuasaan oleh FINAS.

Menurut persatuan itu, hak untuk menubuhkan dan menyertai persatuan dijamin di bawah Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan dan setiap individu serta syarikat bebas memilih persatuan yang ingin disertai.

PTVM turut menggesa satu sesi libat urus melibatkan FINAS, Kementerian Sumber Manusia, PROFIMA, GAFEMA serta semua persatuan berkaitan bagi merangka garis panduan industri yang praktikal, berlandaskan undang-undang dan mampu meningkatkan kebajikan kru tanpa menjejaskan daya saing industri penerbitan negara.

Persatuan itu menegaskan matlamat semua pihak adalah sama, iaitu membina industri kreatif Malaysia yang mampan, berdaya saing serta mampu menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat