Kempen PRN Johor wajar tumpu masa depan negeri, rakyat bukan naratif politik nasional – Salleh Keruak

KUALA LUMPUR – Bendahari Umno Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor perlu terus tertumpu kepada isu-isu yang melibatkan kepentingan negeri dan rakyatnya, bukannya dialihkan kepada naratif politik nasional atau perkara yang berada di luar bidang kuasa kerajaan negeri.

Salleh berkata, siri pertemuan beliau sejak beberapa hari lalu bersama petugas kempen Barisan Nasional (BN), pemimpin tempatan dan pengundi di beberapa kawasan pilihan raya telah memperlihatkan satu mesej yang jelas daripada rakyat.

“Pilihan raya Johor mesti berkisar mengenai Johor.

“Rakyat mahu kempen ini memberi tumpuan kepada perkara yang memberi kesan secara langsung kepada kehidupan mereka, termasuk pertumbuhan ekonomi, pelaburan, peluang pekerjaan berkualiti, pembangunan infrastruktur, pendidikan, perkhidmatan awam serta hala tuju masa depan negeri,” katanya.

Menurut bekas Ketua Menteri Sabah itu, ramai pengundi turut menekankan kepentingan kestabilan politik serta mahukan sebuah kerajaan negeri yang mempunyai mandat yang jelas untuk mentadbir dengan berkesan dan melaksanakan segala janji pembangunan.

“Mereka mahukan kerajaan yang memberi tumpuan kepada pentadbiran dan pembangunan, bukannya kerajaan yang terganggu dengan pertikaian dalaman, ketidaktentuan kepimpinan atau percaturan politik,” kata beliau.

Salleh mengingatkan persoalan utama yang perlu dinilai oleh pengundi ialah sama ada mereka berpuas hati dengan prestasi kerajaan negeri Johor yang diterajui BN.

“Jika rakyat berpendapat kerajaan telah menjalankan tanggungjawab dengan baik, maka BN wajar diberikan mandat baharu untuk meneruskan agenda pembangunannya. Jika sebaliknya, mereka bebas membuat pilihan. Itulah hakikat sebuah demokrasi,” katanya.

Beliau turut berpandangan bahawa sebahagian daripada kempen pembangkang dilihat lebih tertumpu kepada isu-isu yang tidak berkaitan dengan tanggungjawab kerajaan negeri Johor.

“Usaha mengaitkan keputusan pilihan raya negeri dengan perkara-perkara di luar bidang kuasa kerajaan negeri hanya akan mengalih perhatian daripada isu sebenar yang dihadapi rakyat Johor serta cabaran yang memerlukan penyelesaian praktikal,” katanya.

Mengulas perkembangan politik semasa, Salleh berkata sokongan terbuka yang diberikan Pas kepada beberapa calon BN, selain perkembangan dalam kalangan parti pembangkang, sememangnya akan menarik perhatian masyarakat.

“Namun akhirnya, keputusan pilihan raya ini akan ditentukan oleh kebijaksanaan dan pertimbangan rakyat Johor sendiri,” katanya.

Beliau berkata PRN Johor tidak seharusnya dijadikan medan persaingan personaliti atau dipengaruhi isu-isu politik nasional, sebaliknya perlu dilihat sebagai peluang kepada rakyat Johor untuk memilih kerajaan negeri terbaik bagi menerajui negeri itu dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Rakyat Johor berhak menikmati kempen pilihan raya yang berasaskan prestasi, kestabilan politik, kepimpinan yang berwibawa serta visi yang jelas demi masa depan negeri,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat