POLIMAS gempur Malaysia FIRA Cup 2026, rangkul gelaran keramat ‘MYBOT Master’

KOTA BHARU – Kontinjen Robotik Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) melakar sejarah emas apabila mempamerkan dominasi mutlak dalam Kejohanan 19th Malaysia FIRA Cup 2026 yang telah berlangsung di Dewan Jubli Perak, Politeknik Kota Bharu (PKB), dekat sini baru-baru ini.

Bukan sekadar membawa pulang satu pingat emas, satu perak, dan tiga gangsa, POLIMAS turut dinobatkan sebagai ‘MYBOT Master’ (All Challenge Champion) sekali gus menjulang gelaran juara keseluruhan kategori MyBOT.

Pencapaian luar biasa ini membuktikan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara kini berada pada kelas tersendiri dalam memacu teknologi inovatif dan robotik.

Gandingan Mantap POLIMAS-SMK Jitra Letupkan Pentas MyBOT

Kemuncak kebanggaan kontinjen terbukti dalam kategori MyBOT Soccer 3 vs 3. Pasukan A yang mendapat bimbingan penuh daripada Sofwan Ramli berjaya menumbangkan asakan lawan dalam aksi final penuh debaran.

Gandingan mantap antara penuntut POLIMAS, Amir Al Faruq Ami Ridzuan, bersama dua pelajar sekolah rakan strategik dari SMK Jitra, Uwais Alkhalis Muhammad Khairi dan Muhammad Adzfar Sofwan, mempamerkan aksi bertaraf bintang sebelum mengesahkan pingat emas milik mereka.

Mewakili rakan sepasukan, Amir Al Faruq meluahkan rasa syukur dan menyifatkan keserasian bersama pelajar sekolah sebagai kunci utama kemenangan mereka.

“Kemenangan ini adalah impian yang menjadi kenyataan buat kami semua. Walaupun kami datang dari institusi yang berbeza, gandingan bersama adik-adik dari SMK Jitra sangat luar biasa.

Keserasian dan komunikasi yang pantas di gelanggang menjadi kunci utama kami mampu menumbangkan strategi lawan. Gelaran MYBOT Master ini adalah hadiah untuk semua yang mempercayai bakat kami,”ujar Amir dengan nada teruja.

Detik penuh gemilang itu turut disaksikan dan dirayakan bersama oleh Timbalan Pengarah Akademik POLIMAS, Dr. Mhd Azmin Mat Seman, yang hadir memberikan sokongan moral yang padu.

Bukan itu sahaja, kekayaan pingat POLIMAS dalam kategori yang sama ditambah menerusi Pasukan B bimbingan Zulkefli Iberahim. Gandingan Muhammad Aidil Irwan (POLIMAS) bersama Muhammad Adli Huzairi dan Muhammad Fayyaad Mohd Firdaus dari SMK Bandar Darulaman, Jitra berjaya membawa pulang pingat gangsa.

Kategori AiR-Drone Turut Mengganas

Selain mendominasi perlawanan bola sepak robot, skuad bimbingan Mohd Lutfi Mohd Khidir dan Mohd Zul Fahmi Mohd Zawawi turut mendominasi kategori AiR-Drone.

Mereka meraih pencapaian membanggakan menerusi, pingat perak menerusi cabaran Autonomous Race, dan dua pingat gangsa menerusi cabaran Emergency Delivery and Tower Inspection serta Lock and Drop.

Barisan pelajar berwibawa yang menggerakkan kejayaan ini terdiri daripada Muhammad Nur Haikal Mohd Nor Shahwal, Muhammad Yassar Badlishah, Nurul Farhanim Najwa Najmuddin, Dharini Rajan, dan Nur Imanina Mohd Azhar.

Salah seorang wakil pasukan AiR-Drone, Muhammad Yassar Badlishah turut berkongsi cabaran getir yang dihadapi sepanjang pertandingan tersebut.

Muhammad Yassar berkata, persaingan dalam kategori dron sangat sengit, terutamanya semasa cabaran Autonomous Race yang memerlukan ketepatan teknikal yang sangat tinggi.

“Walaupun berdepan dengan masalah teknikal pada saat-saat akhir, berkat bimbingan pensyarah dan ketenangan pasukan, kami berjaya membawa pulang perak dan gangsa.

“Ini membuktikan pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bukan sahaja tahu teori, malah sangat pantas menyelesaikan masalah di lapangan,”katanya.

TVET Buktikan Kemampuan Pendekatan STEAM

Perasmian kejohanan berprestij ini telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim.

Pencapaian mega ini menjadi bukti sahih bahawa pelajar TVET mampu bersaing di peringkat tertinggi. Mereka berjaya menguasai aspek teknologi, inovasi, kreativiti, serta kemahiran penyelesaian masalah berteraskan pendekatan STEAM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni, dan Matematik).

Pengurus Pasukan, Muhammad Khairi Saad, menyifatkan kejayaan ini sebagai buah hasil daripada usaha berterusan, disiplin tinggi, serta kerja berpasukan yang sangat utuh.

“Kejayaan ini adalah komitmen semua pihak. Kami berharap impak kemenangan ini akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak kecemerlangan POLIMAS dalam bidang robotik serta inovasi pada masa hadapan,”katanya.

Dengan kemenangan bersejarah ini, POLIMAS terus memperkukuh komitmennya dalam memperkasakan bakat robotik tempatan bagi melahirkan graduan yang kompeten, inovatif, dan sedia bersaing di pentas global.-SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat