KUALA LUMPUR – Jika Pakatan Harapan (PH) ditakdirkan tewas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini, kesannya sangat buruk memandangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim memainkan peranan sebagai panglima perang dapat dikalahkan oleh Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim, sekiranya PH kalah di Johor ia akan mencalarkan wajah PH dan juga Anwar sebagai Perdana Menteri untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 tidak lama lagi.
“Jadi kalah dalam PRN Johor kali ini bukan satu pilihan kepada Anwar Ibrahim dan PH.
“Dalam tempoh tak sampai seminggu ini para pemimpin, anggota dan penyokong PH yang dikatakan berjumlah lebih sejuta orang itu perlulah bekerja kuat bagi menentukan PH menang.Tiada option lain,” kata pemimpin PKR itu.
Hassan berkata, PRN Johor ini telah mempamerkan dua panglima perang.
“PH menonjolkan Anwar Ibrahim sendiri sebagai panglimanya.Manakala BN dan Umno mempertaruhkan Onn Hafiz Gazi sebagai general di baris depan.
“Anwar Ibrahim seorang Perdana Menteri Kerajaan Pusat manakala Onn Hafiz hanya seorang Menteri Besar sebuah kerajaan negeri. Di sinilah letaknya risiko yang dihadapi oleh Anwar Ibrahim.
“Kalau PH menang, Anwar tetap jadi Perdana Menteri.Tetapi rakyat melihat bukanlah sesuatu yang menghairankan atau ajaib jika PH menang dalam pilihan raya Johor ini yang Perdana Menteri kelihatan aktif berkempen hampir setiap hari.
“Tetapi jika Onn Hafiz yang dari segi umur dianggap anak, masih digelar budak berjaya membuat kejutan dengan memenangi PRN Johor ini sehingga boleh membentuk kerajaan Johor, maka landskap politik negara akan berubah.Onn Hafiz akan muncul sebagai pemimpin muda dari Johor yang boleh melangkah jauh ke depan sebagai pemimpin nasional.
“Kejayaannya di PRN Johor, jika benar-benar berlaku, menjadikan Onn Hafiz Gazi satu bintang baru dari Selatan untuk bakal menjadi Perdana Menteri Malaysia yang akan datang,” ujar Hassan.



