KUALA LUMPUR – Melepasi tempoh seminggu berkempen, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akui sangat berbangga melihat semangat luar biasa para penyokong Barisan Nasional (BN) daripada pelbagai kaum yang terus bekerja siang dan malam demi memastikan kemenangan calon-calon BN, sama ada di lapangan mahupun di alam maya.
Presiden Umno itu menyeru supaya semua meneruskan berkempen dengan penuh hikmah, tonjolkan kelebihan calon BN, sampaikan tawaran terbaik kepada rakyat dan sentiasalah jaga adab kerana rakyat Negeri Johor sedang menilai setiap langkah kita.
“Kempen-kempen juga, jangan lupa jaga kesihatan ya. Kita ada beberapa hari lagi ni.
“Semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan kita, mengurniakan kekuatan dan keberkatan kepada setiap usaha, serta mengizinkan kemenangan yang terbaik buat Bangsa Johor. Insya-Allah,” ujar Timbalan Perdana Menteri.


