KUALA LUMPUR – Pusat Pelancongan Islam (ITC) dan Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh ekosistem Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim (MFTH) di Malaysia menerusi latihan, penglibatan industri serta promosi.
Majlis pemeteraian berlangsung sempena Hari Pertama Pameran Pelancongan Mesra Muslim MATTA (MFTF) 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur dan disaksikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing.
MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pengarah ITC, Mohammad Faisal Abu Suaib Khan dan Presiden MATTA, Nigel Wong.
Menurut Mohammad Faisal, kerjasama dengan MATTA yang mempunyai lebih 2,900 ahli itu bertujuan meningkatkan keupayaan pemain industri pelancongan dalam menyediakan kemudahan serta perkhidmatan mesra Muslim yang lebih menyeluruh kepada pelancong.
Beliau berkata, antara fokus utama kerjasama itu ialah mengintegrasikan ahli MATTA ke dalam program Jaminan dan Pengiktirafan Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim (MFAR).
“Melalui usaha bersama ini, kami menyasarkan untuk melatih 1,000 penggiat industri dalam tempoh beberapa tahun akan datang, dengan sesi pertama dijadualkan berlangsung pada 27 dan 28 Julai melibatkan kira-kira 50 ahli MATTA,” katanya.
Beliau berkata, pasaran pelancong Muslim global yang dianggarkan berjumlah 2.2 bilion penduduk menawarkan potensi besar kepada industri pelancongan negara.
Menurutnya, Malaysia mengunjurkan menerima sekitar 15 juta ketibaan pelancong Muslim menjelang 2030, sekali gus membuka peluang luas kepada pemain industri untuk menawarkan produk dan perkhidmatan yang memenuhi keperluan segmen tersebut.
Katanya, ITC juga sedang membangunkan pangkalan data komprehensif yang menghimpunkan hotel, agensi pelancongan, pemandu pelancong, spa, pusat kesejahteraan serta produk dan perkhidmatan mesra Muslim sebagai rujukan utama kepada pelancong Muslim di seluruh dunia.
Sementara itu, Naib Presiden Pengangkutan Udara MATTA, Fazil Khan Abdul Kadir berkata, kerjasama rasmi itu akan memperkukuh pembangunan pasaran pelancongan mesra Muslim menerusi struktur, akauntabiliti dan perkongsian strategik yang lebih mampan.
Malaysia sebelum ini mengekalkan kedudukan sebagai Destinasi Mesra Muslim Terbaik (OIC) dalam Global Muslim Travel Index 2026 buat tahun ke-11 berturut-turut. Negara turut menerima dua lagi pengiktirafan iaitu Destinasi Mesra Muslim Wanita Terbaik dan Destinasi Mesra Muslim Paling Aksesibel pada Halal in Travel Awards 2026 di Singapura.
Selaras dengan perkembangan itu, ITC turut memperluaskan pelaksanaan program MFAR ke Rusia dan Taiwan, manakala Filipina, Vietnam, Kemboja serta Sri Lanka turut menyatakan minat untuk melaksanakan program berkenaan.
Sepanjang MATTA Muslim-Friendly Travel Fair 2026 yang berlangsung pada 4 dan 5 Julai, ITC turut membuka Pavilion Muslim-Friendly Malaysia di Booth 5E01 hingga 5E06 bersama 10 hotel dan agensi pelancongan yang telah memperoleh pensijilan MFAR, selain menganjurkan beberapa sesi perkongsian mengenai pemandu pelancong mesra Muslim, pelancongan masjid dan pengiktirafan MFAR.



