JOHOR BAHRU,– Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Johor agar memilih barisan kepimpinan negeri yang berani, berprinsip dan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu, Anwar berkata, wakil rakyat tidak seharusnya hanya muncul ketika musim pilihan raya, sebaliknya perlu sentiasa berani bersuara, tegas mempertahankan hak rakyat dan proaktif menyelesaikan isu yang memberi kesan kepada kehidupan seharian.
Menurut beliau, Johor memerlukan kepimpinan yang bukan sahaja mampu membawa suara rakyat, malah mempunyai keupayaan serta iltizam untuk memastikan setiap perjuangan diterjemahkan kepada tindakan dan hasil.
“Saya menyeru Bangsa Johor untuk memilih kepimpinan negeri yang berani, berprinsip dan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat mengatasi segala-galanya.
“Wakil rakyat juga bukan sekadar timbul ketika musim pilihan raya, tetapi mesti berani bersuara, tegas mempertahankan hak rakyat serta lantang menyelesaikan isu-isu yang membelenggu kehidupan seharian,” katanya.
Anwar turut menegaskan bahawa kepimpinan yang efektif perlu memiliki komitmen untuk memperjuangkan suara rakyat sehingga ia dapat direalisasikan.
Beliau mengakhiri hantaran tersebut dengan slogan, “Johor Ke Depan. Undi HARAPAN,” sebagai seruan kepada pengundi menjelang PRN Johor.



