PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini menangguhkan keputusan rayuan akhir pendakwaan terhadap pembebasan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, kepada 13 Julai ini.
Keputusan itu pada asalnya dijadualkan diumumkan hari ini bagi menentukan sama ada bekas Menteri Belia dan Sukan itu kekal bebas atau berdepan semula sabitan dan hukuman selepas Mahkamah Rayuan sebelum ini melepas dan membebaskannya.
Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais memaklumkan, prosiding tidak dapat diteruskan berikutan salah seorang anggota panel, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, tidak sihat dan tidak dapat hadir.
Panel tiga hakim yang mendengar rayuan itu dipengerusikan Abu Bakar bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Che Mohd Ruzima dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan dan mengembalikan sabitan serta hukuman yang diputuskan Mahkamah Tinggi.
Mahkamah Tinggi sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta terhadap Syed Saddiq selepas mensabitkannya atas empat pertuduhan.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 25 Jun 2025 mengetepikan sabitan dan hukuman tersebut serta melepas dan membebaskan beliau daripada semua pertuduhan.
Kes itu berkaitan pertuduhan pecah amanah jenayah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Syed Saddiq sebelum ini berdepan satu pertuduhan bersubahat dalam pecah amanah jenayah membabitkan RM1 juta dana Armada, satu pertuduhan salah guna harta berjumlah RM120,000 serta dua pertuduhan pengubahan wang haram masing-masing berjumlah RM50,000.
Terdahulu, Syed Saddiq tiba di Istana Kehakiman kira-kira jam 9 pagi dengan diiringi ibunya, Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz.



