KLUANG – Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyalurkan peruntukan berjumlah RM3,142,961.66 kepada 27 Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) di Johor bagi tahun 2026 sebagai sebahagian usaha memperkukuh keharmonian masyarakat majmuk serta memastikan kemudahan rumah ibadat terus berada dalam keadaan selamat dan kondusif.
Peruntukan itu disampaikan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, pada Majlis Penyerahan Peruntukan Inisiatif Penyelenggaraan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) Negeri Johor yang berlangsung di Persatuan Memperbaiki Akhlak Che Luan Khor di sini, sempena siri jelajah Program Sentuhan Kasih KPKT 4.0 Tahun 2026.
Menurut KPKT, dana berkenaan akan digunakan bagi melaksanakan kerja-kerja pengubahsuaian, penyelenggaraan, pembinaan baharu serta pembaikan kecemasan rumah ibadat bukan Islam di seluruh Johor.
Sejak tahun 2023 sehingga 20 Mei 2026, Johor telah menerima keseluruhan peruntukan sebanyak RM18.75 juta yang memberi manfaat kepada 154 rumah ibadat bukan Islam di negeri itu.
Nga berkata, Kerajaan MADANI komited memastikan tiada komuniti tercicir daripada menikmati manfaat pembangunan tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang.
“Kerajaan MADANI tidak melihat pembangunan melalui lensa kaum atau agama semata-mata, sebaliknya memastikan setiap komuniti mendapat manfaat secara adil dan saksama demi memperkukuh perpaduan negara. Kepelbagaian yang menjadi identiti Malaysia perlu terus dipelihara dan diraikan sebagai kekuatan yang menyatukan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama perlu terus memelihara semangat toleransi serta saling menghormati selaras dengan prinsip Malaysia MADANI yang menekankan nilai keterangkuman, kesejahteraan dan perpaduan nasional.
Pada masa sama, beliau menegaskan kerajaan akan terus memelihara hak kebebasan beragama sambil menghormati kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Di peringkat nasional, KPKT telah memperuntukkan sebanyak RM200 juta bagi melaksanakan Inisiatif Penyelenggaraan RIBI sepanjang tempoh empat tahun bermula 2023 hingga 2026.
Sehingga kini, kementerian menerima 1,478 permohonan melalui Sistem e-RIBI dengan nilai keseluruhan melebihi RM279 juta, sekali gus menunjukkan permintaan berterusan terhadap kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan rumah ibadat bukan Islam di seluruh negara.
KPKT memaklumkan akan terus memantau pelaksanaan setiap projek yang diluluskan secara profesional, cekap dan telus bagi memastikan peruntukan kerajaan disalurkan kepada organisasi yang benar-benar layak.
Program Sentuhan Kasih KPKT 4.0 Tahun 2026 merupakan platform kementerian untuk mendekati rakyat, meninjau pelaksanaan projek pembangunan serta memastikan setiap dasar dan inisiatif kerajaan memberi impak langsung kepada kesejahteraan komuniti.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti) KPKT, Zulkeflee Sulaiman; Pengerusi Persatuan Memperbaiki Akhlak Che Luan Khor, Kluang, Dato’ Sri Pang Chee Khiong; serta ketua-ketua jabatan dan pegawai kanan kementerian.



